Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 14, 2011

Seksyen 15 AUKU Beri Kebebasan


PERBINCANGAN mengenai kewujudan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 terus menjadi topik hangat untuk diperdebatkan terutamanya seksyen 15 dalam AUKU yang berkaitan dengan mahasiswa.

Bagaimanapun, masih ramai yang gagal memahami AUKU ini dengan baik. Pemahaman mengenainya dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat kampus dikatakan masih berada di tahap rendah.

Jadi kita akan melihat sesetengah mahasiswa mahupun masyarakat akan terpedaya dengan permainan persepsi segelintir pihak yang memburukkan AUKU dengan momokkan bahawa AUKU ini "zalim", "tidak bebas" dan pelbagai lagi. Mereka ini sebenarnya berniat untuk memansuhkan AUKU demi kepentingan dan agenda pihak-pihak tertentu.

Pertama sekali, kita perlu faham bahawa kewujudan AUKU ini bukan hanya berkaitan mahasiswa tetapi lebih banyak memfokuskan penubuhan, pentadbiran dan pengurusan universiti. Ini adalah perkara asas yang perlu difahamioleh semua pihak termasuklah mahasiswa. Salah satu seksyen dalam AUKU yang menyentuh mengenai mahasiswa adalah Seksyen 15. Hampir keseluruhan seksyen dalam AUKU pula menyentuh berkenaan penubuhan, pentadbiran dan pengurusan universiti.

Jadi seharusnya tidak timbul isu bahawa AUKU ini perlu dimansuhkan kerana selain Seksyen 15, lain-lain seksyen menyentuh berkenaan pihak universiti. Seksyen 15 dalam AUKU dikatakan oleh segelintir pihak sebagai "tidak bebas" kepada mahasiswa. Kewujudan seksyen tersebut dalam AUKU ini mempunyai beberapa kepentingan.

* Ia memberi kebebasan kepada mahasiswa daripada terikat dengan mana-mana pihak terutamanya parti politik dan kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri.

* Ia menghalang mana-mana parti politik daripada cuba membawa politik kurang sihat ke dalam kampus. Hal ini bagi memastikan tidak berlaku gangguan kepada pembelajaran.

* Perpecahan dalam kampus mengikut parti politik dapat dielakkan kerana kita perlu faham budaya politik Malaysia ini kadang-kala terarah kepada budaya kurang sihat. Elakkan kampus menjadi medan meraih sokongan parti politik dan akhirnya wujudlah bahagian UMNO, PKR, Pas dan DAP di dalam kampus kerana ingin meraih sokongan.

* Hasil daripada Seksyen 15 dalam AUKU, maka politik kampus yang wujud sehingga hari ini cukup sebagai medan latihan kepada mahasiswa dalam persediaan menghadapi dunia sebenar. Hal ini kerana politik kampus dan politik luar adalah dua perkara berbeza dan mempunyai budaya politik berbeza.

* Golongan majoriti mahasiswa yang ingin belajar dapat berada dalam keadaan harmoni dan aman tanpa gangguan budaya politik yang kurang sihat.

* Kewujudan mahasiswa sebagai "Third Party" yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak adalah penting dalam pembangunan negara dan dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan masyarakat kampus. Ini kerana mahasiswa akan terlibat dalam pembangunan negara dan dasar-dasar kerajaan sebagai "Third Party" bukannya memihak kepada mana-mana pihak.

* Mahasiswa pada hari ini bebas untuk menyertai badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan bermotifkan politik.

Penglibatan dalam NGO sudah cukup untuk memastikan pelajar dapat mengasah bakat kepimpinan dan mewujudkan kebebasan bersuara atas platform persatuan tanpa ada pengaruh ideologi politik.

Kita dapat lihat beberapa kepentingan Seksyen 15 dalam AUKU sebenarnya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk menilai dan bersifat neutral dalam memberikan pandangan atas nama mahasiswa.

Kita perlu lihat semula Seksyen dalam AUKU yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 15 (5)(a) mengatakan:

"Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia".

Dalam Seksyen 15(5)(a) menjelaskan bahawa golongan mahasiswa tidak boleh menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik.

Selain itu, Perkara 10(2) dalam Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan bahawa sekatan kebebasan dibolehkan demi kepentingan pendidikan. Dalam erti kata lain, ia sebenarnya membuka ruang dan kebebasan yang terpimpin kepada mahasiswa bukannya kebebasan mutlak yang dicanang-canang oleh pihak-pihak tertentu.

Jika kita buka juga ruang untuk mahasiswa terlibat dengan parti politik, jangan terkejut jika pensyarah juga akan memohon perkara sama kerana mereka lebih "matang" berbanding mahasiswa. Akhirnya kampus menjadi medan berpolitik dan akan menyimpang daripada matlamat asal pengajian tinggi.

Jika seksyen 15(5)(a) ini dimansuhkan maka pelbagai perkara buruk berlaku di dalam kampus. Provokasi dengan membawa bendera dan memakai baju parti akan mencetuskan keadaan kurang selesa di dalam kampus. Lebih teruk lagi jika provokasi ini membawa kepada fitnah dan pergaduhan.

Jadi, kerajaan pada hari ini perlu membuat rayuan dengan membawa kes berkaitan dengan Seksyen 15(5)(a) ini yang dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kepada mahkamah yang lebih tinggi. Hal ini adalah demi kepentingan majoriti mahasiswa yang inginkan kampus mereka aman dan harmoni.

Keseluruhannya, AUKU, Seksyen 15 dan Seksyen 15(5)(a) mempunyai kepentingan masing-masing dan kewujudannya memberikan ruang dan kebebasan kepada mahasiswa bukannya dizalimi atau disekat seperti dikata oleh segelintir pihak.

0 comments:

share2