Seramai 67 pelajar daripada 19 sekolah menengah di seluruh Pahang menyertai Kuiz Matematik anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di Indera Mahkota di sini, baru-baru ini.
Pertandingan yang diadakan sejak 2005 itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaannya bertambah setiap tahun.
Ketua program, Mohamad Hazman Mohamad Hazali, 21, berkata, program tersebut bertujuan menarik minat dan mengenal pasti pelajar dalam subjek matematik dan menguasai sepenuhnya subjek tersebut.
Selain itu, katanya, program tersebut dapat mendedahkan pelajar mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di UIAM terutama dalam bidang sains dan matematik.
"Pada tahun ini, kita mendapat 67 penyertaan daripada 19 sekolah di sini. Pelajar berkenaan berusia dari 16 hingga 17 tahun dan kuiz ini diadakan selama dua hari," katanya ketika ditemui selepas majlis penutup kuiz itu di UIAM sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohamad dan Dekan Kulliyah Sains UIAM, Prof. Dr. Kamaruzzaman Yunus.
Sementara itu, Mazlan berkata, subjek sains dan matematik amat penting kerana ia dapat membentuk masyarakat berinovasi dan progresif selain bakal menjadi pengguna teknologi pada masa hadapan.
"Sekiranya pelajar didedahkan dengan latihan kenal angka, sistem otak akan menjadi lebih kompleks dan mereka boleh berfikir dengan lebih baik dari segi kuantitatif.
"Penghafalan nombor, sifir dan formula dikatakan kurang penting dalam konteks itu, apa yang utama ialah kemahiran memahami maksud hubungan angka seperti nisbah, set atau fungsi," jelasnya.
Tambah beliau, impian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pasti tercapai sekiranya semua pelajar diberi pendidikan dan latihan berteraskan sains serta teknologi.
0 comments:
Post a Comment