AMALAN membunyikan hon kenderaan di Sarawak termasuk di bandar raya Kuching hampir tidak ada langsung.
Tidak kiralah kereta itu dipandu perlahan sekitar 40 kilometer (km) sejam di lorong laju, anda tidak akan mendengar bunyi hon dari kenderaan lain yang hendak memotong.
Apabila memasuki plaza tol Zecon di Jambatan Tun Salahuddin, sebahagian pemandu yang menyusur perlahan, kelihatan baru hendak tercari-cari duit RM1.50 untuk diberikan kepada jurutol. Walaupun agak lambat, semua pemandu kelihatan sangat sabar.
Keadaan yang agak sama juga berlaku di bulatan besar yang mana pemandunya sungguh berhemah menanti dengan sabar sebelum memasuki bulatan itu. Jika ada yang terus memotong, agak 'ajaiblah' perilakunya.
Itu ragam pemandu kenderaan di Sarawak. Meskipun dikatakan agak perlahan tetapi dalam erti kata sebenar, ia sesuatu yang bersopan santun.
Sikap itu juga dipercayai menjadi teras kepada tadbir urus pembangunan di negeri itu yang menekankan kepada kestabilan dan pentadbiran berhemah serta seterusnya memastikan kemajuan dilaksanakan secara konsisten.
Rekod prestasi Sarawak dalam kecekapan tadbir urus dilihat penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa. Aliran pelaburan antarabangsa terus ke negeri itu yang dicatatkan pada 2009 ialah RM5.7 bilion. Untuk 2010 hingga 2020 yang dijangka untuk Koridor Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) sahaja adalah RM147.5 bilion.
Penangan SCORE cukup mengujakan. Ia untuk memastikan Sarawak terus maju dan makmur dengan kemajuan Bintulu sahaja dicetuskan oleh satu industri - LNG. Malah, SCORE bakal menyediakan 836,000 pekerjaan secara langsung pada 2030. Antara industri utamanya ialah minyak yang menyediakan segmen relevan seperti loji penapisan, petrokimia dan gas: aluminium iaitu bersegmenkan peleburan aluminium serta kaca melibatkan silikon metalik, semikonduktor dan aktiviti hiliran membabitkan komponen automotif dan pembinaan.
Menyentuh mengenai peluang pekerjaan, dijangkakan juga lebih 800,000 pekerjaan lain akan diwujudkan melalui perindustrian dan perniagaan tambahan dan hiliran. Perindustrian bakal dijana oleh industri kecil dan sederhana (IKS) seperti perusahaan pembuatan kecil, rangkaian kedai runcit dan kedai kopi serta perniagaan khidmat luar dan lain-lain.
SCORE juga bakal menjana permintaan tenaga kerja secara langsung. Antaranya, tenaga profesional/pengurus, tenaga kerja separuh mahir dan kurang mahir yang mencecah 397,000 pada 2015 sehinggalah mencapai hampir sejuta pada 2030.
Berdasarkan analisis ekonomi, menerusi SCORE, KDNK Sarawak akan berkembang lima kali ganda menjelang 2030 dengan 1.6 juta pekerjaan langsung dan tidak langsung akan diwujudkan. Jika sebelum SCORE pada 2008, pertumbuhan KDNK sekitar lima peratus (RM26 bilion) tetapi dengan SCORE nanti, ia dijangka mencapai 10 peratus (RM55 bilion).
Maka, bertepatanlah dengan 'hon' yang dikeluarkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Sabtu lepas kepada rakyat Sarawak supaya berwaspada dengan sikap negatif pembangkang yang mampu menjejaskan peluang rakyat menerima pembangunan.
"Saya percaya mereka yang gemar menghasut akan kalah pada pilihan raya ini," katanya. - Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment