Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 25, 2011

DS Najib Menyokong Blogger


KUALA LUMPUR 24 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak pernah gentar dengan pengendali-pengendali blog, sebaliknya mahu mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kata Perdana Menteri, meskipun kerajaan mungkin tidak bersetuju dengan kumpulan itu pada kebanyakan masa, namun situasi tidak bersetuju tersebut adalah penting bagi kedua-dua pihak.

Kerajaan juga jelasnya, sentiasa mengalu-alukan kritikan yang konstruktif serta membina dan mahu bekerja bersama-sama pengendali blog sebagai sebuah pasukan.

"Terdapat perbezaan antara bercanggah pendapat dan berpendirian untuk tidak bersetuju.

"Namun, yang paling mustahak adalah untuk kita bersama-sama menzahirkan pandangan ke arah membina sebuah negara Malaysia dan ASEAN yang lebih baik pada masa depan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Blogger Serantau Malaysia-ASEAN yang pertama di sini hari ini. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Persidangan anjuran Blog House Malaysia (BHM) bertemakan Blogging Mindfully and Responsibly itu diadakan selama dua hari melibatkan lebih 300 pengendali blog dari seluruh ASEAN.

Program diadakan termasuk diskusi bertajuk Parameters-The Fine Line Between What's and What's Not membabitkan ahli panel seperti peguam dari India, Anirudh Bhati dan blogger, Irwan Abdul Rahman (Hassan Skodeng) manakala Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan pula bertindak sebagai moderator.

Dalam perkembangan sama, Najib berkata, kerajaan akan tetap dengan komitmen untuk tidak menghalang kandungan Internet sebagaimana yang diamalkan sejak pentadbiran Dr. Mahathir.

Bagaimanapun kata beliau, mustahak untuk para pengendali blog dan pengguna Internet menyedari bahawa terdapat sempadan kebebasan yang tidak boleh dilangkaui.

"Kita mengamalkan demokrasi terbuka dan demokrasi digital adalah sebahagian daripadanya. Justeru, sesuatu yang sia-sia sekiranya kerajaan cuba menghalang atau tidak mempedulikan hakikat ini," katanya. - Utusan Malaysia

0 comments:

share2