TEMERLOH 13 Feb. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim sebagai satu kehilangan besar kepada negeri ini dan beliau sendiri.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham merupakan sahabat beliau yang sangat akrab dan banyak membantunya terutama semasa menjadi Menteri Besar Pahang dahulu.
“Saya mengenali beliau (Zaharuddin) sejak 30 tahun lalu dan kerana itu, pemergiannya satu kehilangan besar bagi saya,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah di Kampung Kerdau di sini hari ini. Perdana Menteri tiba di rumah Allahyarham pada pukul 11 pagi dan meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu ahli keluarga Allahyarham dan turut menyertai solat jenazah.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin; Exco-Exco kerajaan negeri dan pemimpin tempatan.
Terdahulu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) di sini untuk menziarahi Allahyarham kira-kira pukul 1 pagi ini sebelum dibawa pulang ke rumahnya di sini.
Baginda bergegas ke hospital berkenaan apabila dimaklumkan mengenai berita tersebut selepas baginda selesai menghadiri satu majlis di Raub malam tadi. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram di sini pukul 12.30 tengah hari ini.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rozlifah Ahmad, 33. Zaharuddin meninggalkan lima anak berusia 29 hingga 39 tahun hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Allahyarham Azizah Mohd. Nor, yang meninggal dunia pada 2006.
Allahyarham meninggal dunia pukul 6.30 petang semalam di rumahnya di sini akibat terjatuh di dalam bilik air dipercayai akibat serangan jantung.
Najib berkata, Zaharuddin banyak membantunya dari segi bertukar-tukar pandangan dalam mencari idea bagi membangunkan Pahang.
Selain itu kata Najib, Allahyarham yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih Biro Tata Negara dan Penolong Pegawai Daerah Bentong adalah seorang jurulatih dan pemikir yang baik dan membantu beliau memperkukuhkan UMNO.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan Allahyarham Zaharuddin sebagai seorang sahabat yang setia.
Beliau mengenali Allahyarham sejak 41 tahun lalu berharap supaya ahli keluarga Allahyarham bersabar dan berdoa semoga arwah dicucuri rahmat-Nya.
Sebelum dipilih menjadi wakil rakyat Kerdau pada Pilihan Raya Umum 2008, Zaharuddin menceburi bidang perniagaan selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan.
Sumber: Utusan Malaysia
0 comments:
Post a Comment