Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Showing posts with label Tempatan. Show all posts
Showing posts with label Tempatan. Show all posts

Wednesday, December 9, 2020

POLIS PAHANG KEKALKAN SJR HARIAN






Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang mengekalkan Sekatan Jalan Raya (SJR) sedia ada di semua daerah negeri ini bagi tujuan Ops Benteng dan Ops Cegah Jenayah.

Ketua Polis Pahang Dato' Sri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya turut menempatkan 119 pasukan pemantau berpakaian uniform dan biasa di tempat-tempat pelancongan bagi memperkasakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurutnya, walaupun kerajaan telah membenarkan rentas negeri tanpa permit polis, namun SJR harian masih dikekalkan di negeri ini dengan melibatkan 15 ke 18 SJR sehari bagi tujuan pencegahan jenayah dan cegah kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan jumlah keanggotaan antara 152 hingga 160 orang.

"Tujuan kita teruskan sekatan ini bagi membolehkan pihak polis memberi maklumat terus kepada orang ramai mengenai kes Covid-19 di Pahang termasuk lokasi yang mencatat peningkatan kes.

"Pasukan pemantauan akan perkenalkan diri mereka dan orang ramai juga berhak bertanya kad penguasa," katanya.

Majlis penyerahan replika cek sumbangan yayasan kepada guru besar SKJ (China) Pei Chai Kuantan, Lim Loke Fong (lima dari kanan).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Penyerahan Replika Cek Bantuan RM20,000 dan alat bantuan mengajar Smartboard kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (China) Pei Chai Kuantan oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Aziz Salleh yang juga Naib Pengerusi 1 Yayasan itu; Naib Pengerusi Kanan Yayasan, Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Chong Chin Fung

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata sejumlah 17 premis dikompaun kerana tidak mematuhi SOP seperti penyukat suhu dan manual buku atau MySejahtera atau goPahang.

PDRM Pahang menggerakkan 119 pasukan pemantau dengan 1,913 pemantauan di seluruh Pahang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai yang ingin melaksanakan percutian akhir tahun untuk mematuhi SOP.

"Jika datang ke tempat dikenalpasti berlaku penularan Covid-19 tolong elakkan dan pastikan tidak membawa orang tua atau bayi. Tolong fikirkan pandangan pihak keselamatan agar menangguhkan percutian ke lokasi pandemik," katanya.

Read more »

Tuesday, November 10, 2020

PAHANG AMBIL BERAT KEBAJIKAN BEKAS KAKITANGAN JASA








Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berjaya mengambil pendekatan lebih bijaksana dalam membantu kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Negeri Pahang yang kehilangan pekerjaan ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat, Wan Rosdy mengambil berat dan memikirkan masa depan bekas kakitangan Jasa yang teraniaya dengan mengambil mereka berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, Wan Rosdy tetap meneruskan pendekatan tersebut walaupun terpaksa berdikari dari aspek kewangan kerana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan PH ketika itu.

"Begitulah hebatnya sikap prihatin seorang pemimpin besar terhadap nasib rakyat di bawahnya termasuk dalam membela kakitangan Jasa yang terkesan ekoran perubahan kerajaan selepas PRU14.

"Ternyata kerajaan negeri lebih dahulu membantu mereka sejak dua tahun lalu," katanya melalui kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau melontarkan pandangan dalam konteks negeri Pahang itu di sebalik pelbagai reaksi berhubung peruntukan RM85 juta yang disalurkan kerajaan kepada Jasa dalam Belanjawan 2021 baru-baru ini.

"Masing-masing ada pandangan dan hujah sendiri namun saya tidak berhasrat menghakimi pandangan itu sebaliknya lebih untuk mengulas perkara ini dalam konteks Pahang," katanya.

Beliau berkata, ada yang mendakwa peruntukkan kepada Jasa itu terlalu besar sehingga melebihi peruntukan untuk petugas barisan hadapan.

"Justeru, mereka mendesak kerajaan membuat penjelasan lanjut bagaimana peruntukan itu akan dibelanjakan.

"Tidak kurang yang memberi reaksi positif dengan melihat peruntukan itu amat perlu bagi pengambilan kakitangan baharu, penyediaan prasarana digital, pelaksanaan latihan dan modul yang lebih komprehensif serta bagi menampung kos operasi Jasa.

"Malah, mereka juga berpandangan jumlah peruntukan itu tidak perlu dipersoal kerana selama ini tiada yang memikirkan kebajikan kakitangan Jasa yang hilang pekerjaan di zaman pemerintahan PH," katanya.

Read more »

MAAHAD TAHFIZ, SEKOLAH PONDOK DIBENAR BEROPERASI DI PAHANG







Kerajaan negeri Pahang hari ini memutuskan untuk membenarkan maahad tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini terus beroperasi secara bersyarat, iaitu pelajar tidak dibenarkan keluar dari kawasan pusat pengajian mereka.

Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain itu tenaga pengajar dari luar Pahang khususnya yang datang dari kawasan zon merah wabak koronavirus (Covid-19), dilarang untuk kembali mengajar di pusat pengajian agama di negeri itu untuk sementara waktu.

“Keputusan ini adalah bergantung kepada keadaan. Jika terdapat kes jangkitan baharu dilaporkan di sekolah pondok atau maahad tahfiz terlibat, maka arahan berhenti operasi akan dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.


Wan Rosdy berkata langkah itu merupakan langkah awalan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Pahang, walaupun negeri ini buat masa ini tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti negeri lain.

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan bahawa semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah kementerian itu, ditutup mulai hari ini sehingga tahun hadapan sebagai langkah memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Arahan itu turut terpakai bagi sekolah di negeri-negeri tidak dikenakan PKPB iaitu Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak.

Selain itu, Wan Rosdy berkata pasukan keselamatan dengan diketuai pihak polis akan meningkatkan sekatan jalan raya di lokasi-lokasi terpilih mulai Rabu ini, bagi menyekat tindakan rentas negeri terutamanya dari zon merah ke Pahang.

“Bagaimanapun, polis masih mempunyai budi bicara dan memberi kelonggaran mengikut kes tertentu seperti kecemasan dan kematian. Kita berharap orang ramai dapat memahami tindakan ini bukan mahu menyusahkan, namun sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Read more »

Friday, November 6, 2020

[KUANTAN] UCYP LAKSANA KONVOKESYEN SECARA MAYA BERSAMA PERMAISURI AGONG







Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi universiti pertama di negara ini yang berjaya melaksanakan majlis konvokesyen secara maya bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung dalam normal baharu itu dilaksanakan melalui tiga sesi dengan purata kehadiran 50 graduan bagi setiap sesi.

Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin berkata, pelbagai inisiatif telah dibincangkan dengan teliti di peringkat pengurusan universiti agar segala persiapan konvokesyen secara maya itu dapat dilaksanakan dengan selamat dan lancar selain meletakkan aspek keselamatan sebagai keutamaan sebelum program tersebut dilaksanakan.

“Kami amat peka dengan situasi semasa, justeru, pelbagai inisiatif dan langkah keselamatan telah dibincangkan bersama pengurusan UCYP, terutamanya soal keselamatan dan kesihatan petugas serta graduan.

"Oleh itu, untuk konvokesyen kali ini, ia dibuat secara normal baharu dengan menjadikan asas teknologi hari ini sebagai jalan penyelesaian kepada pelaksanaan majlis ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Program Majlis Konvokesyen Virtual UCYP & KYP 2020, Suhaila Mukhtar berkata, pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia membuka mata semua pihak untuk berfikir secara lebih kreatif.

Menurutnya, kemajuan teknologi telah banyak memberi sumbangan dalam kehidupan seharian.

"Pada majlis konvokesyen virtual (maya) ini, antara teknik yang dipraktikkan termasuk penggunaan suntingan 'superimposed' gambar graduan bersama Raja Permaisuri Agong yang juga Canselor UCYP, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Gambar Tuanku Canselor diambil terlebih dahulu di Istana Negara pada 7 Oktober lalu, manakala gambar graduan diambil ketika sesi temu janji fotografi masing-masing di Kampus Utama, UCYP Tanjung Lumpur di sini," katanya.

Beliau berkata, bersesuaian dengan konsep adaptif yang diterapkan oleh UCYP, konvokesyen berkonsepkan maya itu sememangnya langkah terbaik di samping membudayakan normal baharu dalam kalangan kakitangan dan graduan dengan panduan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Kesemua sesi majlis konvokesyen virtual (maya) ini berjalan dengan lancar serta menerima pelbagai reaksi positif daripada kakitangan, graduan dan ibu bapa.

"Ia berlangsung selama sembilan hari iaitu pada setiap hujung minggu selama tiga minggu berturut-turut namun tidak melibatkan graduan dari kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Suhaila berkata, sesi konvokesyen maya UCYP untuk tiga sesi itu melibatkan kehadiran seramai 376 graduan.

Read more »

Monday, November 2, 2020

[KUANTAN] PENDUDUK DAKWA LETUPAN SEBABKAN DINDING RUMAH RETAK








Penduduk di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya di Gambang di sini mendakwa rumah didiami mereka mengalami keretakan serius akibat letupan ketika kerja-kerja meratakan tanah bukit oleh syarikat pemaju perumahan pada September lalu.

Pengerusi taman perumahan itu, Ahmad Farzee Kamarudin, 57, mendakwa, gegaran kuat akibat letupan itu membimbangkan penduduk kerana jarak lokasi berbukit tersebut dianggarkan hanya 100 meter dari kawasan perumahan mereka.

"Rumah yang kami duduki sejak empat tahun lalu sudah mula retak. Setakat ini hanya tujuh penduduk yang tampil suarakan masalah ini selepas gegaran kuat pada 24 September lalu.

"Keretakan boleh dilihat dengan jelas di dinding ruang tamu, bilik tidur, dapur dan bilik air. Bila rumah retak begini, kita susah hati," katanya ketika ditemui.

Keretakan dinding rumah penduduk di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya, Gambang didakwa disebabkan oleh letupan kuat pada 24 September lalu.

Menurutnya, satu laporan polis juga dibuat bagi memastikan kerja-kerja itu dihentikan pemaju perumahan bagi mengelakkan keretakan lebih teruk berlaku.

"Walaupun perkara ini sudah dimaklumkan kepada syarikat pemaju tapi laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.

"Menerusi laporan itu juga penduduk yang terlibat boleh membuat permohonan daripada agensi berkaitan supaya memeriksa struktur rumah mereka sama ada selamat diduduki atau sebaliknya.

"Kita mahu pemeriksaan struktur rumah yang retak dinilai pakar (agensi berkaitan) sebelum pihak pemaju melakukan kerja membaik semula rumah ini," katanya.

Terdahulu, penduduk perumahan itu menerima kunjungan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato' Abd Rahim Muda.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali; Pengarah Syarikat Perumahan Dinamik Budimas Sdn Bhd, Datuk Fong Teck Loon dan wakil daripada Pejabat Tanah dan Galian.

Sementara itu, Abd Rahim berkata, kerajaan negeri akan mengkaji struktur bangunan rumah yang dilaporkan retak akibat kerja-kerja meratakan tanah berhampiran kawasan taman perumahan itu.

Ahmad Farzee menunjukkan keretakan yang berlaku di dalam bilik rumahnya di Taman Perumahan Makmur Fajar Jaya, Gambang hari ini.

"Saya meminta pihak berkaitan merujuk perkara terbabit kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya dapat meneliti struktur bangunan rumah yang retak agar tidak membahayakan penghuninya.

"Setakat ini, kita menerima laporan daripada tujuh pemilik rumah. Lokasi berbukit yang diratakan itu membabitkan pembinaan perumahan PR1MA fasa kedua," katanya.

Katanya, buat masa ini kerajaan negeri mengarahkan kerja-kerja letupan dihentikan serta-merta bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

"Pemaju juga memaklumkan mereka akan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku selepas menerima laporan berhubung struktur binaan rumah di kawasan ini," katanya.

Read more »

Sunday, November 1, 2020

[KUANTAN] 'JANGAN POLITIKAN ISU SUMBANGAN IKHLAS PENEROKA FELDA'








Pemimpin di Pahang dinasihatkan supaya tidak menjadikan isu peneroka Felda menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sebagai sedekah jariah sebanyak RM300 seorang sebagai bahan politik atau dipolitikkan.

Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, isu mewajibkan potongan sebanyak itu tidak pernah timbul kerana Felda tidak pernah memaksa peneroka untuk melunaskan bayaran sebanyak itu.

Tegas beliau, perkara itu sudah diterangkan secara jelas kepada peneroka oleh pihak pengurusan tanah rancangan Felda dan jawatankuasa kemajuan rancangan Felda.

"Secara jelas dakwaan wajib bayar tidak timbul. Jika peneroka mampu beri sedekah RM100 sahaja, tidak mengapa. Tiada paksaan pun.

"Jadi, ahli-ahli politik terutama DAP jangan jadi hero dalam isu ini. Jangan manipulasikan perkara ini, sebaliknya bantu warga peneroka untuk sama-sama berbuat buat baik serta menyokong penuh perkara baik yang dibawa oleh Felda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman memuat naik surat di Twitter miliknya dan mempersoalkan mengenai arahan mewajibkan peneroka bersedekah demi mencari 'keberkatan' dalam usaha memulihkan Felda.

Surat itu turut menyatakan, setiap peneroka diwajibkan ke atas diri masing-masing menginfaqkan sumbangan ikhlas yang dianggap sebagai sedekah jariah sebanyak RM300 seorang.

Dalam pada itu, Asrullah berkata, kutipan dibuat bagi membantu golongan memerlukan di semua tanah rancangan Felda di negeri ini dan golongan asnaf yang tinggal di luar tanah rancangan Felda.

Katanya, pihak Felda akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam negeri termasuk kerajaan negeri bagi membantu dari segi agihan sumbangan kepada individu yang memerlukan.

"Jadi, bila kita infaq ia bukan sahaja membantu peneroka yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19), tetapi golongan asnaf di luar daripada tanah rancangan Felda," katanya.

Read more »

share2