Pages

Monday, April 15, 2019

PAHANG DISERU MELAKSANAKAN KAJIAN IMPAK TERHADAP PENGURUSAN ALAM SEKITAR SECARA TELUS





Kuantan, 15.4.2019 : Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dalam mengejar peningkatan hasil, kawasan hutan di Negeri Pahang tidak dijadikan kawasan pembalakan dan penerokaan semata-mata. Ia mampu menjadi sumber pendapatan melalui pengamalan sistem konservasi alam sekitar yang holistic yang seterusnya akan memperkasakan sektor eko-pelancongan dan turut berupaya mendatangkan hasil kepada kerajaaan negeri.


“Dalam merealisasikan hasrat ini, saya menyeru agar semua pihak dapat melaksanakan kajian impak terhadap pengurusan alam sekitar secara telus bagi sesuatu kawasan yang telah dikenalpasti untuk dibangunkan. Hebahan media massa terhadap kes-kes alam sekitar di Negeri Pahang perlu diambil perhatian dan tindakan segera.”


“Saya menyokong penuh usaha penguatkuasaan oleh kerajaan negeri dalam menangani gejala pencerobohan tanah kerajaan terutamanya yang melibatkan kawasan tadahan air, rizab sungai dan rizab jalan. Saya berharap kerajaan Pahang dapat melaksanakan tindakan penguasaan ini dengan lebih menyeluruh tetapi dengan berhemah dalam pelaksanaannya ," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, hari ini.


Baginda berharap, dengan adanya kesedaran dan tanggongjawab yang tinggi di kalangan rakyat, selain daripada komitmen yang berterusan daripada kerajaan, kesejahteraan alam sekitar dan kekayaan sumber asli di Pahang akan dapat terus dinikmati dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.



No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor