Pages

Monday, September 7, 2015

DERMA TABUNG MASJID DENGAN DUIT PALSU


Derma tabung masjid dengan duit palsu



Rembau - Seorang bilal di Masjid Kariah Tanah Datar, Chengkau di sini, kecewa apabila ada individu meletakkan wang palsu ke dalam tabung derma masjid berkenaan.

Bilal terbabit, Malik Mohd Yunus, 67, berkata, dia menyedari perkara itu pagi kelmarin ketika seperti biasa sedang menjalankan rutin mengambil wang dalam tabung berkenaan untuk diserahkan kepada pengurusan masjid.

Menurutnya, tabung berkenaan merupakan tabung khas disediakan masjid untuk kegunaan tanah perkuburan.

“Selesai solat Subuh, saya buka peti wang derma dan mendapati terdapat satu sampul surat serta duit sebanyak RM4. Seperti biasa, saya bawa balik duit dan sampul surat itu untuk direkodkan jumlah kutipan. 

“Selepas buka sampul surat itu, saya agak pelik melihat beberapa kepingan not RM50 mempunyai bentuk berbeza yang dikelipkan bersama sampulnya,” katanya ketika di Kampung Batu Puteh, di sini, semalam.

Curiga dengan perkara itu selain mengesyaki kemungkinan duit berkenaan palsu, Malik terus ke Balai Polis Kota, di sini, untuk mendapatkan pengesahan.

“Rasa kesal juga. Tak tahu apa niat penyumbang tapi saya harap pada orang ramai berhajat untuk memberi derma kepada masjid, dermalah duit yang betul dan bukannya duit palsu.

“Malah, saya harap agar orang ramai dapat berhati-hati ketika berurusan dengan duit kerana bimbang akan menerima duit palsu. Jika dilihat sekali imbas macam duit betul tetapi bila diteliti, kita akan dapati perbezaannya,” katanya. 

Menurutnya, sepanjang empat tahun menjalankan tanggungjawab mengutip wang derma, dia belum pernah lagi menerima duit palsu apatah lagi dalam jumlah yang banyak.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor