Sabak Bernam - “Kalau aku memang gila harta, dah aku bawa ke tempat tidur. Ingat ya, ALLAH tak tidur. (ALLAH) lebih tahu hati siapa yang busuk dan bersih,” demikian status Facebook yang dikirim, Helista Oktiani, 26, salah seorang mangsa bot karam di Perairan Sabak Bernam.
Helista yang berasal dari Medan, Indonesia menulis status itu menerusi akaun Facebooknya, Toeng Oktian pada jam 11.40 pagi, 22 Julai lalu.
Menurut suaminya, Muhadar Abdullah, 28, , mereka sepatutnya pulang ke Aceh Utara pada 21 Ogos lalu, bagaimanapun disebabkan isterinya tidak sihat memaksa hasrat itu ditangguhkan.
“Patutnya saya balik awal, tapi isteri pula tak sihat kerana selalu meracau. Bila isteri semakin pulih saya minta dia balik kampung dulu dan saya susul kemudian,” katanya.
Muhadar memberitahu, dia datang ke negara ini baru sebulan, bagaimanapun isterinya datang sebelum Ramadan lalu.
“Dia datang ke rumah abang sepupu saya di Tasik Puteri. Di sana (Aceh) dia sihat, tapi bila sampai ke Malaysia dia macam kena rasuk.
“Sebetulnya saya datang nak jemput dia balik, tapi akibat masalah kewangan saya benarkan dia balik ikut makciknya,” katanya.
Jelas Muhadar, dia ada bermimpi isterinya itu ditemui selamat dan menaiki sebuah bot besar untuk pulang ke Aceh.
“Sampai sekarang, saya masih tak tahu isteri selamat atau pun tak. Kalau tak selamat saya reda, tapi saya nak tengok jenazahnya dulu,” katanya.
Muhadar berkata, isterinya sempat bersalaman dengannya dua kali sewaktu dia menghantar Helista ke Simpang 4, Teluk Intan.
“Masih sayu kalau saya kenangkan kejadian ni. Apa pun saya anggap ini hanya ujian dari ALLAH,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor