KUALA LUMPUR– Garis panduan yang diguna pakai semasa Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan dipraktikkan semula
pada PRK DUN Slim dengan beberapa penambahbaikan bagi mengekang penularan
COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob.
Katanya antara garis panduan yang dipersetujui termasuk
Bilik Gerakan Parti dan Bilik Gerakan Kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh
pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan
oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Bilik Gerakan ini perlu didaftarkan dengan pihak SPR
terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan.
“Kempen dan ceramah hanya dibenar dilaksanakan di kawasan
tertutup atau di kawasan berpagar bagi memudahkan proses pemantauan dan
pemeriksaan suhu badan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan
di Bangunan Parlimen hari ini.
Jumlah orang ramai juga perlu mengikut keluasan kawasan
dengan mematuhi penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada
satu-satu masa serta pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan.
“Waktu keluar mengundi adalah digalakkan mengikut ketetapan
SPR. Ini bagi mengelak berlakunya kesesakan di pusat-pusat mengundi,” katanya.
Ismail Sabri berkata SPR akan mengadakan perbincangan dengan
wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan pilihan raya yang
memerlukan penilaian berdasarkan situasi semasa.
“Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan untuk PRK ini
adalah berdasarkan Akta 342, di bawah Kementerian Kesihatan bagi mencegah
penyebaran jangkitan wabak COVID-19 semasa PRK. Bagaimanapun, peraturan di
bawah Akta SPR masih diguna pakai semasa PRK berjalan,” katanya.
PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd
Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai. SPR menetapkan hari penamaan calon
pada 15 Ogos manakala pengundian awal pada 25 Ogos dan mengundi pada 29 Ogos.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd
Khusairi, yang mewakili Barisan Nasional, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti
2,183 undi menewaskan calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim yang bertanding atas
tiket PKR dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.
Berhubung isu kuarantin di rumah, Ismail Sabri berkata
pegawai KKM bersama anggota polis membuat 2,018 pemeriksaan mengejut semalam
untuk memastikan SOP ditetapkan dipatuhi, dengan seorang individu dikenakan
tindakan.
“Sehingga kini, pihak polis mengambil tindakan di bawah
Seksyen 22(B) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit,
1988) terhadap 31 individu yang melanggar SOP home quarantine termasuk yang
keluar dari kawasan rumah menggunakan gelang kuarantin,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, kertas siasatan telah dihantar ke
Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan sama ada individu yang melanggar
SOP ini akan dihadapkan ke mahkamah.
“Ia adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara dan
bagi pihak polis, mereka telah hantar kertas siasatan dengan cadangan tindakan
seterusnya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bagi tempoh 24 Julai hingga 5
Ogos, seramai 6,473 individu tiba di tanah air melalui pintu masuk sempadan
antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 26 hotel dan stesen kuarantin di
Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak,
Kelantan, Perak dan Perlis.
Daripada jumlah itu, seramai 18 individu telah dibawa ke
hospital untuk rawatan kerana positif COVID-19.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor