KUANTAN: Kira-kira 90% premis perniagaan di Pahang mematuhi
arahan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda premis masing-masing sejak
dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas.
Ketika mendedahkan perkara itu hari ini, pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda berkata, berdasarkan pemerhatian pihak berkuasa tempatan, kebanyakan premis mengambil inisiatif menukar papan tanda baru atau menampal pelekat bertulisan Jawi di atas papan tanda sedia ada.
“Namun begitu, masih ada premis perniagaan yang tulisan Jawi
di papan tanda mereka bersaiz lebih kecil daripada tulisan Rumi iaitu tidak
mematuhi syarat ditetapkan.
“Mereka ini diberikan masa untuk membetulkan perkara itu,”
katanya di sini.
Abd Rahim berkata, premis perniagaan yang tidak mematuhi
peraturan itu boleh dikenakan denda antara RM250 dan RM500, selain boleh
dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan.
Mengenai tindakan Adun Tras Chow Yu Hui memfailkan
permohonan di Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini bagi mencabar arahan
kerajaan negeri itu, Abd Rahim berkata, perkara tersebut mungkin berlaku kerana
ada pihak menganggap peraturan berkenaan berkaitan kaum dan proses Islamisasi
terhadap kaum lain.
“Sebenarnya, ia (arahan) bukan begitu. Jika dirujuk Akta
Bahasa Kebangsaan 1963/1967, ada dinyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu
dan tulisannnya ialah tulisan Rumi dan Jawi. Jadi arahan ini sepatutnya tiada
masalah untuk dipatuhi,” katanya.
Kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi
selari dengan titah Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada
November 2018 supaya tulisan tersebut diperkasakan dan dibudayakan di negeri
itu.
SUMBER : BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor