TANJUNG MALIM, 21 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) Mohd
Zaidi Aziz yakin BN akan menang di semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim termasuk enam PDM yang parti itu kalah dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan faktor kerja
berpasukan antara BN dan PAS di bawah semangat kerjasama Muafakat Nasional (MN)
serta parti komponen lain dalam BN juga bekerja keras untuk meraih undi untuk
gabungan itu.
“Kita minta supaya MCA, MIC letakkan sasaran tertentu undi
dan kalau kita berjaya dapatkan undi-undi itu, insya-Allah kesemua enam PDM ini
kita akan menang,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama
pengundi di Pekan Slim, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Enam PDM yang BN tewas pada PRU14 adalah Kampung Kuala Slim,
Pekan Slim, Sungai Slim Utara, Pekan Lama, Ladang Kelapa Bali dan Ladang
Sungkai.
PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru
antara calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43; dan dua calon Bebas iaitu S.
Santhasekaran, 44; dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38; mewakili Parti
Pejuang Tanah Air yang dalam proses didaftarkan. Sebanyak 23,094 pengundi layak
mengundi pada PRK Slim, 29 Ogos ini.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul
Talib yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor