KUANTAN: Seramai 30 anggota 4 Briged (Mekanize) Kem Batu 10,
di sini akan menyertai 'Projek Jiwa Murni' membaiki 21 rumah peneroka mangsa
ribut FELDA Jengka 21, Maran, Jumaat ini.
Pegawai Staf 3 Risik, Mejar Mohd Zaki Idealy Jamaludin,
berkata program bersepadu itu turut mendapat kerjasama Majlis Ugama Islam dan
Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran dan
FELDA.
Katanya usaha membaiki rumah secara gotong-royong itu
dijangka mengambil masa selama seminggu bergantung kepada keadaan cuaca serta
bekalan bahan binaan yang diperlukan.
Dalam kejadian ribut di FELDA Jengka 21 pada 20 dan 29 Jun
lalu, sebanyak 58 rumah rosak, kebanyakannya pada bahagian bumbung apabila
diterbangkan angin. Sebanyak 37 rumah sudah dibaiki pemiliknya.
"Kos membaiki kerosakan dianggarkan sebanyak RM19,000
yang disediakan pihak MUIP. Atap, kayu dan paku bahan utama yang diperlukan
untuk membaiki rumah yang rosak.
"Usaha membaiki rumah peneroka yang rosak perlu
dilakukan segera bagi meringankan beban yang ditanggung pihak terbabit,"
katanya dihubungi, di sini hari ini.
Beliau Berkata 30 anggota yang terbabit pada program
berkenan nanti terdiri daripada
anggota Skuadron 11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan
Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (RRD) Mekanize termasuk seorang pegawai.
Mohd Zaki Idealy berkata, sebelum ini Pemangku Raja Pahang,
Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah melawat mangsa dan berharap bantuan membaiki rumah dapat
segera dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi projek jiwa
murni.
Justeru katanya, pihaknya bersetuju untuk mengadakan projek
jiwa murni bagi meringankan beban semua mangsa yang terbabit.
SUMBER – BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor