KUANTAN - Projek pembinaan jambatan kedua merentasi Sungai
Kuantan bagi menghubungkan bandar Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di
sini dijangka siap pada 25 September ini.
Projek melibatkan pembinaan laluan sepanjang 2.5 kilometer
termasuk jambatan sepanjang 451 meter dengan harga kontrak semasa RM155.8 juta
itu kini siap 93 peratus.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata,
projek yang dilaksanakan secara reka dan bina itu melibatkan pembinaan jalan
empat lorong dari Jalan Tanjung Lumpur ke persimpangan Jalan Tanah Putih dan
Jalan Pintasan Bukit Setongkol merangkumi 1.5 kilometer laluan baharu dan
menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 0.5 kilometer.
Menurutnya, projek itu akan menjadi laluan tambahan kepada
jambatan sedia ada yang menghubungkan bandar Kuantan ke Tanjung Lumpur.
"Dengan adanya jambatan dan laluan baharu ini, ia akan
mengurangkan kesesakan trafik di bandar Kuantan selain memendekkan jarak dan
menjimatkan masa perjalanan kira-kira 15 hingga 30 minit dari arah Bandar
Indera Mahkota, Gambang dan kawasan sekitarnya ke Tanjung Lumpur," katanya.
Fadillah meninjau jambatan baharu sepanjang 451 meter yang
merentasi Sungai Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini.
Fadillah meninjau jambatan baharu sepanjang 451 meter yang
merentasi Sungai Kuantan ke Bandar Putra, Tanjung Lumpur di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir
meninjau kemajuan dan kelancaran kerja projek tersebut di sini hari ini.
Fadillah berkata, melalui projek itu secara tidak langsung
akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi yang besar khususnya kepada
bandar Kuantan dan Pahang amnya.
Beliau berkata, projek yang dimulakan sejak 15 Ogos 2016 itu
sepatutnya siap pada 14 Ogos tahun lalu namun ia dilanjutkan kepada 25
September ini atas beberapa faktor.
"Insya-ALLAH projek ini dapat disiapkan mengikut jadual
ditetapkan jika tiada masalah lain yang timbul sebelum dibuka kepada
umum," katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan Persekutuan meluluskan
peruntukan tambahan RM47 juta bagi membina jejambat dari persimpangan Bukit
Setongkol ke Kemunting merentasi Jalan Kuantan-Gambang ke laluan baharu Tanjung
Lumpur.
"Skop projek pembinaan projek ini akan dilaksanakan
kontraktor sama Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) melalui perjanjian tambahan
dan arahan kerja sudah dikeluarkan 15 Jun lalu," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor