KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengadakan persidangan bagi
membincangkan langkah-langkah untuk memerangi denggi di negeri ini pada Oktober
ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk
Seri Norol Azali Sulaiman berkata, persidangan itu akan melibatkan wakil-wakil
jabatan dan kerajaan Pahang serta media.
Menurutnya, dalam persidangan itu semua pihak terlibat akan
berbincang bagaimana kaedah yang terbaik bagi menangani isu denggi di negeri
ini.
"Persidangan ini kemungkinan akan diadakan pada bulan
Oktober depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Norol Azali berkata, sebanyak enam kematian dilaporkan
akibat denggi di negeri ini dari 1 Januari hingga 18 Julai lalu berbanding
empat kematian bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, kerajaan Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri
(JKN) Pahang memandang serius jumlah kes kematian terutama peningkatan kes yang
direkodkan ketika ini.
"Setakat 18 Julai lalu, sebanyak 1,762 kes demam denggi
dilaporkan iaitu peningkatan 735 kes atau 72 peratus berbanding 1,027 kes bagi
tempoh sama tahun lalu.
"Semua daerah di negeri ini menunjukkan peningkatan kes
kecuali di Temerloh dan Jerantut. Daerah Kuantan merekodkan jumlah kes
tertinggi iaitu 1,241 kes atau 70.4 peratus di negeri ini," katanya.
Norol Azali berkata, di Pahang sebanyak 92 lokaliti
bermasalah dengan peningkatan 58.6 peratus berbanding 58 lokaliti bagi tempoh
sama tahun lalu.
"Oleh itu, semua rakyat di negeri ini diminta
meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk membersihkan sekitar rumah mereka
bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor