PUTRAJAYA –
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) N58 Slim, Perak diadakan pada 29 Ogos.
Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mengumumkan hari
penamaan calon pada 15 Ogos, manakala tarikh mengundi awal pada 25 Ogos.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari
bermula daripada hari perisytiharan calon-calon bertanding sehingga pukul 11.59
malam 28 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas mengenai
urusan PRK itu, di sini hari ini.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd
Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15
Julai lepas akibat serangan jantung ketika bermain golf di Awana Genting
Highlands Golf & Country Resort.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd
Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan
dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS,
Muhammad Zulfadli Zainal.
PRK DUN Slim merupakan PRK ke-12 diadakan selepas PRU14.
Sebelas PRK yang diadakan sebelum ini ialah di DUN Sungai
Kandis, DUN Balakong, DUN Seri Setia, Parlimen Port Dickson, Parlimen Cameron
Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Parlimen Sandakan, Parlimen Tanjung Piai,
Parlimen Kimanis dan DUN Chini.
Azmi berkata Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih
Tambahan Suku Tahun Pertama 2020 yang dikemas kini sehingga 16 Julai lepas akan
digunakan bagi PRK DUN Slim dan akan mula dijual pada 5 Ogos.
Katanya daftar pemilih tersebut mengandungi 23,094 pengundi
yang terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan dua
pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
“SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi.
SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti
politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi
supaya keluar mengundi,” katanya.
Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih mulai 5 Ogos
untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan
mereka melalui laman portal SPR (www.spr.gov.my) atau menghubungi talian
03-88927018 atau melalui SMS 15888 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Azmi berkata bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan
dalam negara, permohonan mula dibuka hari ini dan ditutup pada 13 Ogos.
Pegawai Daerah Muallim Shamsul Ridzuan Idris dilantik
sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN Slim dan beliau akan dibantu oleh empat orang
penolong pegawai pengurus, katanya.
Azmi berkata SPR juga bersetuju menubuhkan dua pasukan
penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang akan dianggotai oleh pihak
polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding untuk
memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.
“SPR akan menggunakan Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah
Tanjong Malim sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi,”
katanya.
Azmi berkata seramai 689 petugas akan dilantik bagi
mengendalikan proses PRK DUN Slim manakala sebanyak 13 pusat mengundi yang
kesemuanya mengandungi 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.
“PRK ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM4.6
juta,” katanya.
Menurut Azmi, seramai 391 pengundi kurang upaya dikenal
pasti bagi PRK itu yang akan mengundi di saluran satu dan 10 saluran baharu
ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai dalam satu saluran.
Azmi berkata satu garis panduan pencegahan COVID-19 yang
ditambah baik selepas PRK DUN Chini akan dikuatkuasakan bagi memastikan setiap
proses dalam urusan pilihan raya tersebut selari dengan langkah-langkah kawalan
penyebaran pandemik COVID-19 sebagaimana yang dinasihatkan Kementerian
Kesihatan.
Beliau berkata SPR turut menawarkan kepada mana-mana agensi
kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan atau individu berkelayakan
berminat menjadi pemerhati dalam proses PRK dari penamaan calon sehingga
keputusan pilihan raya.
Permohonan menjadi pemerhati boleh dikemukakan kepada SPR
mulai hari ini hingga 29 Julai melalui emel pilihanrayakecil@spr.gov.my. ,
katanya
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor