KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Chini akan menjadi ‘template’ (acuan) kepada Pilihan Raya Umum
Ke-15 (PRU-15) yang pada pandangannya berkemungkinan akan berlaku tidak lama
lagi.
Katanya, PRK tersebut akan melakarkan lagenda yang
tersendiri sebagaimana kisah tasiknya.
“PIlihan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih
berjalan dan pandemik belum betul-betul reda.
“Namun ia penting. Prosedur Operasi Standard (S.O.P) cara
berkempen dan cara mengundi akan diuji,” katanya dalam satu hantaran di
Facebook.
Tambah Ahmad Shabery lagi, disebabkan itu, nama Chini akan
dingati oleh umum sampai bila-bila.
Untuk rekod, ekoran penularan COVID-19 di dalam negara,
kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mengekangnya telah menguatkuasa
PKP sejak 18 Mac lalu.
Kerajaan PN juga kini berdepan dengan beberapa isu politik
nasional disebabkan jumlah majoriti di Dewan Rakyat yang sangat nipis
berbanding Pakatan Harapan (PH) akibat kecelaruan politik yang ditimbulkan oleh
PH.
Sebagaimana maklum juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada
15 Mei lalu menetapkan PRK DUN Chini diadakan pada Sabtu, 4 Julai depan ekoran
kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala
Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.
SPR juga mengumumkan hari penamaan calon pada 20 Jun
manakala tarikh mengundi awal ialah pada 30 Jun.
Pada PRU ke-14, Abu Bakar yang memperoleh 10,027 undi,
menang dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul
Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang
mendapat 1,065 undi.
SUMBER – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor