Pages

Saturday, June 6, 2020

BERI LALUAN PENYANDANG/CALON BN/UMNO MENANG PERCUMA PADA PRK CHINI



KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR PAHANG 


Saya mohon kerjasama semua pihak – parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang/calon Barisan Nasional (BN)/UMNO untuk menang tanpa bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) kawasan Chini.


Ini bermakna, PRK DN kawasan Chini khususnya tempoh berkempen 14-hari bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga Hari Pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.


Dengan ini dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia sekarang.


Saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihanraya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini.


“Sesetengah berpandangan, kita wajar adakan pilihanraya sekarang… Namun sekarang negara tidak bersedia untuk hadapi pilihanraya kerana kita tidak boleh berkempen, tidak boleh berkumpul dan lakukan apa yang biasa kita lakukan semasa pilihanraya,” Tun Dr Mahathir dilaporkan berkata oleh BERNAMA pada persidangan media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Kuala Lumpur, semalam.


Tun Dr Mahathir mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK DN kawasan Chini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orangramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak pandemik ini.


Saranan ini juga selari dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK DN kawasan Chini atas alasan serupa.


Dengan tidak mengadakan PRK DN kawasan Chini ini juga boleh menjimatkan kos yang bakal ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kira-kira RM4.3 juta, malah oleh calon-calon serta parti-parti yang bertanding.
 

PRK ini diadakan susulan pulangnya ke Rahmatullah, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun lewat malam 6 Mei 2020. Allahyarham ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan ini yang memenanginya pada tiga Pilihanraya Umum (PRU) lepas iaitu PRU-PRU tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018.


Pada PRU-14 tahun 2018, Allahyarham ‘Datuk Burn’ atau juga dikenali ‘Ayah Ngah’ dalam kalangan penduduk; memenangi kerusi DN ini dalam pertandingan tiga (3) penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.


Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika itu, memperolehi 5,405 undi. Seorang lagi calon dari PKR cuma mendapat 1,065 undi lalu hilang wang pertaruhan (kerana gagal mendapat minimum 1/8 daripada jumlah undian).


Oleh kerana kini, BN menjalin kerjasama erat dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), dan PAS sendiri meminta kerusi DN kawasan Chini tidak dipertandingkan; ia akan memberi peluang kepada calon BN/UMNO untuk menang lebih besar lagi.


Apa yang saya katakan ini tidaklah bermakna BN/UMNO bersikap riak atau takabbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa. Oleh itu, lebih munasabh dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding.


Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan.


DATO’ SRI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Menteri Besar Pahang/Pengerusi BN Pahang
6 Jun 2020

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor