KUANTAN, 11 Jun -- Kerajaan negeri Pahang bersetuju untuk
mengkaji semula peraturan berkaitan aktiviti perlombongan bagi mengelakkan
berlaku masalah pencemaran sumber air.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak
berkata antara perkara yang dipersetujui ialah pindaan terhadap jumlah deposit
Kumpulan Wang Amanah Pemulihan Bersama yang perlu dijelaskan sebelum operator
boleh memulakan aktiviti melombong.
"Selain itu, syarat tenemen (lesen) mineral akan
diperketatkan dan ditambah baik selain turut mewujudkan pelan pemulihan lombong
yang lebih komprehensif melibatkan agensi kerajaan dan pemegang lesen,"
katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Sallehuddin berkata keputusan itu dibuat ekoran pencemaran
sumber air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Temau di Lipis, kira-kira 300
kilometer dari sini, yang dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
semalam.
Pencemaran yang berlaku pada Mei lepas menyebabkan LRA itu
terpaksa ditutup beberapa kali sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada
421 pemegang akaun di Felda Chegar Perah dan Felcra Sungai Temau.
Katanya, tinjauan di sekitar Sungai Temau pada Sabtu lalu
mendapati terdapat tapak lombong yang masih aktif dan bekas lombong yang telah
tamat tempoh berhampiran LRA Sungai Temau.
"Hasil tinjauan mendapati berlaku limpahan air dari
kolam sedimen di tapak lombong yang mengalir masuk ke anak sungai disebabkan
kelemahan operator lombong dalam aspek penyelenggaraan kolam itu.
"Bacaan Kadar Tingkat Kekeruhan Air (NTU) juga tinggi
iaitu 4,380 NTU pada 16 Mei lepas dan keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan
lebat menyebabkan sumber air tidak boleh diproses," katanya.
Sallehuddin berkata tindakan operator meninggalkan lombong
tamat tempoh tanpa dibaik pulih juga mendedahkan kawasan itu kepada risiko
pencemaran alam sekitar melibatkan aliran air dan tebing bukit.
Sehubungan itu, Sallehuddin berkata kerajaan negeri telah
mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta kepada semua operator dan pemegang
pajakan lombong di kawasan Sungai Temau selain notis, kompaun atau saman akan
dikeluarkan kepada mereka yang melanggar syarat perlombongan.
"Arahan tindakan penyelenggaraan juga dikeluarkan kepada
operator lombong yang didapati mempunyai masalah kolam dipenuhi mendapan yang
perlu dilakukan dengan serta-merta.
"Sebagai langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah
gangguan pencemaran di LRA Sungai Temau, satu lencongan sungai sedang dibuat
yang tidak akan melalui loji tersebut," katanya.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor