KUALA LUMPUR, 6 Mei – Pasca pandemik COVID-19 bukan sahaja
akan mengubah landskap serta pergerakan seluruh rakyat pelbagai cabang dan
peringkat malah UMNO juga mungkin akan turut terkena tempiasnya setelah wabak
tersebut melanda Malaysia selain seluruh dunia.
Justeru bagi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan,
parti itu juga mestilah bersedia untuk berubah daripada amalan kebiasaan
sebelum ini terutama apabila melibatkan soal penyampaian maklumat kepada ahli
parti itu dan juga penerangan kepada rakyat.
Menurut beliau jika perniagaan dan sebagainya lagi hari ini
telah berubah kepada sistem online, kepimpinan parti juga harus bersedia ke
arah itu dengan lebih hebat supaya masing-masing dapat menguasai media sosial
sepenuhnya bagi menyahut cabaran mendatang.
“UMNO juga tentunya berubah dari segi pergerakan dan sebelum
ini kita tentu ada program-program yang melibatkan orang ramai dan sebagainya.
Jadi kita kena berfikir bagaimana corak penyampaian maklumat kepada ahli kita
dan juga kepada rakyat selepas ini.
“Jika perniagaan berubah kepada online, maka kita juga berubah
secara online. Contohnya program kita ini…jadi kita mesti lebih kepada
teknologi maklumat, mahir dalam media sosial dan itulah harapan saya kepada
pemimpin UMNO kerana selepas ini suasananya cukup berubah yang mana segala
maklumat diterima di tangan mereka. Jadi kalau kita tidak berupaya untuk
melakukan perkara itu dan tidak menguasainya kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wawancara Khas sempena
Hari UMNO ke-74 yang mengupas topik ‘UMNO & Realiti Politik Alaf Baru’ yang
dihoskan oleh Datuk Dr Azizan.
Wawancara tersebut disiarkan secara langsung menerusi
Facebook UMNO Online, Selasa malam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah
parti hari ini memperlihatkan kelainan yang tersendiri apabila Presiden UMNO,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat sedikit perubahan di dalam jawatan
kepimpinan.
“Baru-baru ini Presiden mengubah sedikit jawatan dalam parti
dan saya Setiausaha Agung UMNO (SUA) kalangan umur pertengahan…boleh dianggap
begitulah… dan kita juga ada Ketua Penerangan baharu, Shahril Hamdan yang
berumur 34 tahun. Tentunya Ketua Penerangan kita ini mempunyai misi yang
tertentu.
“Kita perlukan lebih ramai lagi mereka yang mempunyai
pelbagai kelayakan dan sebagainya lagi termasuklah juga kombinasi orang-orang
biasa dan kita kena memahami tentang itu. Kita perlukan sokongan dan dokongan
daripada semua pihak.
“Baru-baru ini Penerangan UMNO mengumpulkan beberapa
profesional dari kalangan doktor yang ada jawatan di dalam UMNO dan kemudiannya
divideokan ..saya cukup suka melihat video berkenaan. Mereka berada di
merata-rata dan masing-masing memberikan pandangan-pandangan tentang COVID-19.
Ini memperlihatkan kita tidak mempunyai kekurangan mereka-mereka yang
profesional di dalam parti termasuklah kalangan peguam dan sebagainya lagi
berada di dalam parti,” tambahnya.
SUMBER – UMNO Online
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor