KUANTAN, 6 MEI 2020: Penularan wabak COVID-19 di negara ini
telah menyebabkan sektor perhotelan di Pahang mengalami kerugian kira-kira
RM500 juta sehingga bulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan
Perladangan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin
berkata, kerugian ini membabitkan hotel bertaraf tiga, empat dan lima bintang.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak
pembatalan bagi tempahan penginapan. Ini menyebabkan hotel-hotel mengalami
kerugian yang agak teruk.
“Sebab itu boleh dikatakan sektor perhotelan adalah industri
yang paling terkesan dengan pandemik COVID-19 ini, kita jangkakan sektor ini
akan pulih sehingga tahun hadapan,” katanya dalam sidang media pengumuman
pemenang bulan Februari Pertandingan Video Pendek Pahang Simply Awesome di
Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni
dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Pahang, YBhg. Dato’ Haji Idros Yahya dan
Pengurus Besar Tourism Pahang, Dato’ Ishak Mokhtar.
Beliau juga mencadangkan kepada pihak Kementerian
Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia untuk melaksanakan Kempen Melawat
Malaysia pada tahun 2022.
“Umum mengetahui bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan
Kebudayaan mengumumkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) dibatalkan
susulan penularan COVID-19.
“Justeru saya cadangkan, kempen ini dilaksanakan semula pada
tahun 2022 kerana bagi meningkatkan kembali sektor pelancongan di Malaysia.
Rakyat juga digalakkan untuk melancong di dalam negara,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Kerajaan Pahang sudah membantu
kira-kira 1,000 akvitis pelancongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini.
“Setakat ini 155 pelancong asing juga dikenal pasti
terkandas di negeri ini dan pihaknya masih mengenal pasti jumlah pelancong
asing yang terkandas di seluruh negeri ini,” katanya.
SUMBER – PAHANGMEDIA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor