KUALA LUMPUR, 5 Mei – Kepatuhan orang ramai serta disiplin
sosial amat penting bagi mencapai matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan
COVID-19 dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham
Abdullah.
Beliau turut menyeru orang ramai agar mengamal serta
membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah penularan
pandemik maut itu di negara ini.
“Kita perlu mengamalkan dan membudayakan kelaziman baharu
dalam kehidupan seharian kita seperti penjarakan sosial, mengelak (mengadakan
dan menyertai) perhimpunan, pastikan sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun
serta sangat digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam.
“Ini adalah tanggungjawab sosial dan kita perlu menjaga diri
sendiri, keluarga serta komuniti. Sila duduk rumah jika tiada urusan penting di
luar,” katanya dalam satu pesanan khidmat masyarakat yang disiarkan oleh semua
stesen televisyen tempatan.
Noor Hisham turut mengajak seluruh rakyat agar mematuhi
pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu
kelonggaran diberikan untuk membuka semula hampir semua sektor ekonomi secara
berhati-hati dan terkawal.
Katanya peniaga, pengusaha dan majikan perlu mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang ditetapkan oleh pihak
berkuasa.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor