KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang
dilangsungkan selama hanya dua jam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
yang sudah masuk fasa ketiga pelaksanaannya.
Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad berkata,
persidangan itu diringkaskan dengan hanya mengadakan sesi soal jawab lisan.
"Keutamaannya, persidangan ini hanya kepada semua Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja dan tidak ada jemputan ketua Jabatan untuk
kurangkan kapasiti dalam dewan ini.
"Malah semua ahli dewan terpaksa melakukan penjarakkan
sosial 1 meter," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN ke-14
hari ini.
Persidangan bermula jam 11 pagi dihadiri kesemua ADUN dan
mereka perlu diperiksa suhu badan dan mencuci tangan sebelum memasuki dewan
persidangan.
Sebelum itu, Ishak memaklumkan, Pemangku Raja Pahang, Tengku
Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja ketika perasmian
pembukaan Sidang DUN menerusi sidang video.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy
Wan Ismail berkata, walaupun persidangan terpaksa dijalankan dengan cara
ringkas tetapi ia satu perkara amat penting dan perlu disempurnakan.
Jelasnya, persidangan ini perlu dilaksanakan berdasarkan
tempoh masa yang telah ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri
Pahang.
"Saya ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih ke atas
Tengku Hassanal Ibrahim di atas perkenan menyempurnakan Titah
Diraja dan seterusnya menyempurnakan perasmian DUN pada kali
ini.
"Sesungguhnya, titah Tengku Hassanal sebentar tadi yang
dibuat melalui rakaman video, memberi makna yang amat besar dan begitu mendalam
kepada patik-patik sekalian," Katanya.
Beliau berkata, ini membuktikan bahawa Tengku Hassanal
begitu mengambil berat terhadap perjalanan dan urusan persidangan DUN.
Tambahnya, persidangan DUN Pahang diadakan mengikut prosedur
Ooperasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan khususnya
dalam aspek mematuhi keperluan penjarakkan sosial dan amalan penjagaan
kebersihan.
"Saya bersyukur kerana segala urusan dan ketetapan Yang
Dipertua Dewan disambut baik oleh ahli dewan dengan mematuhi sepenuhnya segala
apa yang telah ditetapkan sepanjang tempoh persidangan ini berlangsung,"
katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor