Pages

Monday, April 20, 2020

M-TEN MAMPU PACU EKONOMI PAHANG KE TAHAP LEBIH TINGGI- MB




KUANTAN, 20 April  -- Cadangan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang atau 'M-Ten' bukan hanya mampu membantu memulihkan pembangunan ekonomi negeri pasca wabak COVID-19 malah dilihat mampu memacu ekonomi Pahang ke peringkat lebih tinggi.


Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan penubuhan M-Ten itu sebagai tepat pada masanya, mengambil kira faktor persekitaran ekonomi dan perniagaan yang semakin mencabar di peringkat dunia ketika ini.


"Diharapkan M-Ten akan turut dianggotai barisan tokoh ekonomi berkaliber seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar yang dapat membantu kerajaan negeri.


"Kerajaan negeri juga menjunjung kasih ke sisi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas saranan baginda mencadangkan penubuhannya," katanya semasa menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini yang berlangsung dalam keadaan 'serba ringkas' susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Beliau juga memaklumkan kerajaan negeri akan mengumumkan fasa keempat bantuan kepada rakyat yang terjejas sumber pendapatan ekoran wabak COVID-19 selepas kejayaan tiga fasa bantuan meliputi 22 inisiatif berjumlah RM24.34 juta yang dimulakan pada 23 Mac.


Wan Rosdy berkata inisiatif itu meliputi pemberian wang tunai dan sumbangan barangan keperluan selain pengecualian bayaran bagi meringankan beban kewangan rakyat pelbagai latar belakang.


Susulan penularan COVID-19 di Malaysia mula menunjukkan penurunan, beliau mengingatkan rakyat Pahang untuk terus mematuhi PKP walaupun terpaksa menempuh pengalaman Ramadan yang berbeza pada tahun ini.


 “Mungkin tiada kemeriahan majlis berbuka puasa beramai-ramai selain masjid dan surau juga tidak lagi meriah dengan solat jemaah dan tarawih serta tadarus. Walaupun pilu, saya pasti ada hikmah yang terbaik dari Allah dan kita perlu reda," katanya.


Yang Dipertua DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad berkata persidangan hari ini mencatat sejarah apabila perasmiannya dilakukan secara persidangan video oleh Tengku Hassanal susulan pelaksanaan PKP namun pada masa sama, mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang.


Undang-undang itu mewajibkan sidang DUN Pahang berlangsung sebelum 21 Mei atau terbubar, menyebabkan beberapa kelainan perlu dilakukan untuk menjamin keselamatan semua ahli dewan dengan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri.


"Saya cuba membuat yang terbaik dan mohon maaf jika ada antara Yang Berhormat rasa tidak selesa. Semua yang hadir diwajibkan menjalani saringan suhu badan dan memakai penutup hidung dan mulut serta kedudukan kerusi dijarakkan sehingga ada yang terpaksa duduk di bahagian belakang.


"Malah tiada ketua jabatan yang dijemput pada persidangan hari ini dan saya juga perlu memaklumkan bahawa tiada sesi soal jawab kali ini bagi memendekkan tempoh masa kita berada dalam dewan. Semoga kita dapat kembali kepada amalan biasa pada masa depan," katanya. 



SUMBER -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor