KUANTAN : Kerajaan
Negeri telah memberikan bantuan pekerjaan kepada tujuh orang gelandangan yang
dikenalpasti di daerah ini buat masa ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan
Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah
Shahaniza Shamsuddin berkata bantuan ini adalah sebagai peluang kepada para
gelandangan ini untuk menjana pendapatan mereka selepas ini.
“Mereka ini telah dikenalpasti dan telah pun diambil bekerja
bermula 15 April lepas dengan Majis Perbandaran Kuantan (MPK) di Jabatan
Landskap untuk menjaga landskap, tolong siram pokok bunga dan sebagainya.
“Mungkin selepas ini, kita dapat fikirkan sesuatu untuk
menempatkan mereka (selebihnya) ini di satu tempat dan kita juga boleh bagi
mereka ini peluang untuk mereka menjana pendapatan mereka sendiri. Ini nanti
akan sama-sama kita fikirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Pusat
Perlindungan Sementara Gelandangan di Institut Latihan KEMAS Kuantan.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Beliau berkata terdapat seramai 37 orang gelandangan yang
ditempatkan di pusat perlindungan sementara ini dan dua daripadanya merupakan
warga asing.
Pengerusi
Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita
dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin
mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan yang ditempatkan di Pusat
Perlindungan Sementara Gelandangan di Institut Latihan KEMAS Kuantan.
“Daripada jumlah ini, saya difahamkan ada lebih kurang 10
orang di luar sana yang kita tak dapat buat apa-apa kerana mereka ini mempunyai
masalah mental dan agak agresif.
“Tetapi kita dah minta JKM ambil mereka dan hantar ke tempat
sepatutnya dan walaupun mereka ini berada diluar sana tapi kita telah
kenalpasti identiti mereka dan mereka ini sentiasa di pantau oleh pihak Jabatan
Kesihatan,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa puas hati dengan kelengkapan
dan kemudahan yang disediakan di pusat perlindungan sementara ini.
“Saya berpuas hati dengan kelengkapan yang diberi yang mana
mereka juga telah mewujudkan beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa
Kesihatan bagi memastikan mereka ini berada dalam tahap kesihatan yang terbaik,
dan saya difahamkan, mereka ini telah pun menjalani ujian COVID-19 dan semua
didapati negatif, selain mereka juga disaring kesihatan setiap hari.
“Begitu juga dengan Jawatankuasa Makanan, memastikan mereka
ini makan minum, dan mereka ada Jawatankuasa Kerohanian dan Jawatankuasa
Kaunseling untuk memberi khidmat kaunseling kepada mereka dan mereka ini saya
lihat ceria di sini,” katanya
SUMBER -PAHANGMEDIA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor