PUTRAJAYA, 6 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN
Tambahan) bernilai RM10 bilion khusus untuk membantu meringankan beban kewangan
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pakej rangsangan tambahan ini akan dapat menjamin dua
pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan, katanya
semasa mengumumkan pakej tersebut, di sini, hari ini.
Menurut Muhyiddin, antara langkah-langkah tambahan yang
diambil ialah peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac
yang lalu akan dinaikkan kepada RM13.8 bilion daripada RM5.9 bilion, iaitu
tambahan sebanyak RM7.9 bilion.
Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan
pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan
subsidi upah antara RM600 hingga RM1,200 mengikut jumlah bilangan pekerja.
Bantuan ini adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan
kepada majikan yang telah berdaftar dengan Suruhnajaya Syarikat Malaysia (SSM)
atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Jan 2020 dan mendaftar dengan PERKESO.
Perdana Menteri berkata kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka
akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor