PUTRAJAYA– Langkah kerajaan mengenakan kuarantin wajib
kepada rakyat Malaysia yang pulang dan individu yang masuk ke negara ini mulai
3 April lepas berjaya mengekang peningkatan kes pandemik COVID-19 di negara
ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob berkata ini terbukti apabila laporan Kementerian Kesihatan (KKM)
mendapati terdapat 17 kes positif daripada jumlah mereka yang dikuarantin itu.
“Satu perkara tepat apabila PKP (Perintah Kawalan
Pergerakan) fasa dua, kita memperkenalkan kuarantin wajib rakyat Malaysia yang
pulang (ke negara ini). Di sesetengah negara buat kuarantin diri di rumah atau
tidak kuarantin.
“Ada 17 kes positif COVID-19 yang pulang dari luar negara.
Cuba bayangkan, jika kita bagi mereka pulang ke rumah, keluarga terdedah kepada
COVID-19 dan boleh merebak kepada lebih ramai orang,” katanya pada sidang media
harian perkembangan PKP di sini, hari ini.
Katanya walaupun ramai yang tidak senang dengan langkah
kuarantin wajib itu, namun ia adalah langkah yang perlu bagi menjamin kesihatan
rakyat.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata setakat semalam seramai
16,653 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 190 pusat kuarantin
seluruh negara.
Katanya semalam juga terdapat 573 rakyat Malaysia telah
pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin wajib.
“Seramai 11,947 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara
telah dikuarantin wajib sejak 3 April. Sejak 18 April, 1,290 individu telah
tamat menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.
Katanya, seramai 72 orang akan pulang ke Sarawak selepas
tamat menjalani tempoh kuarantin wajib.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menguruskan
penerbangan pulang mereka ke Sarawak, katanya
SUMBER.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor