PELANJUTAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 15 April
hingga 28 April 2020 yang diumumkan kerajaan semalam, membuktikan keseriusan
kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.
Kekal positif dan bersedia dengan kebiasaan baharu ‘the new
normal’ bagi mengelak timbulnya bosan, boring, sunyi, ‘mati kutu’ dan ‘jiwa
kacau’ kerana ‘terperuk’ di rumah berikutan pelanjutan tersebut. Apakah kesan
negatif kepada emosi dan kesihatan mental individu apabila pergerakan dan
komunikasi diminimumkan dan terhalang dalam tempoh masa yang lama?
Menurut Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, Pakar
Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya “Tidak dinafikan bahawa penyesuaian
terhadap PKP boleh membawa kepada keresahan jika tidak difahami dan
dimanfaatkan sebaiknya kerana naluri manusia adalah bersosial dan bebas
bergerak tanpa sekatan”, menurutnya lagi “Namun begitu, impak mental disebabkan
kawalan pergerakan dan penjarakan fizikal ini adalah minimum. Yang utama,
setiap rakyat perlu melihat perkara ini dari sudut positif demi kebaikan
bersama untuk membantu usaha membendung penularan wabak COVID-19”.
Tidak dinafikan, setiap individu mempunyai tahap tekanan dan
kebimbangan yang berbeza dalam tempoh PKP sama ada dalam keadaan terkawal atau
tidak. Seorang bapa bimbang dengan kelangsungan kerjayanya, guru risau dengan
sukatan silibus yang sudah ketinggalan, pensyarah ternanti-nanti sama ada
semester pengajian diteruskan atau sebaliknya. Pelajar sekolah, kanak-kanak
tadika dan taska merindui gelak-tawa dan senda gurau bersama rakan-rakan.
Saya yakin jika setiap individu memahami pelanjutan PKP ini
secara positif kebimbangan dan ketidakstabilan emosi dapat dikawal dan
dibendung. Kepanikan melampau serta keresahan yang tidak munasabah, sehingga
menjejaskan kenyenyakan tidur, hilang selera makan, menyendiri dan hilang
tumpuan harus dielakkan. Meminimumkan tahap kepanikan adalah langkah awal bagi
menstabilkan emosi sepertimana pesan Ibnu Sina (370-428 H/980-1037 M) “
Kepanikan adalah separuh penyakit, ketenangan adalah separuh ubat, dan
kesabaran adalah permulaan kesembuhan”. Perlu difahami bahawa kerisauan dan
tekanan juga boleh menyebabkan imuniti badan menurun sekali gus memudahkan
jangkitan penyakit.
Saya menyeru kepada ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak
menjadikan tempoh pelanjutan sebagai ‘ceria berkurung’ bagi mengeratkan
hubungan dan memperkasakan institusi kekeluargaan. Setiap individu seharusnya
memandang serius isu gangguan dan ketidakstabilan emosi ketika berada di rumah
sepanjang tempoh PKP ini. Jika perkara ini tidak diendahkan dan ditangani
dengan baik ia akan mencetuskan perbalahan dan keganasan dalam rumah tangga.
Kebimbangan ini juga disuarakan oleh Setiausaha Agung
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang menggesa setiap
negara untuk bertegas menjamin keselamatan rumah tangga dan wanita. Data
menunjukkan perintah berkurung bagi membendung COVID-19 secara tidak langsung
meningkatkan kes jenayah rumah tangga. Antonio Guterres menggesa diwujudkan
keamanan di setiap rumah katanya “ Peace is not just the absence of war. Many
women under lockdown for COVID-19 face violence where they should be safest, in
their own homes”.
Kongres Wanita Kebangsaan India melaporkan, negara itu
mencatat peningkatan keganasan rumah tangga dua kali ganda pada minggu pertama
perintah berkurung. Kes di Perancis turut meningkat tiga kali ganda dalam
tempoh seminggu perintah berkurung dan di Australia, pencarian internet
mengenai sokongan bagi kes keganasan rumah tangga meningkat 75 peratus.
Walaupun kes keganasan rumahtangga di negara kita tidak meningkat seperti di
India, Perancis dan Australia ketika tempoh PKP sepertimana kenyataan
Kementerian Wanita dan Keluarga namun, perkara ini tidak boleh dipandang remeh.
Mekanisme dan inisiatif pencegahan perlu diterokai bagi membendung gangguan
emosi ketika di rumah yang membawa kepada keganasan rumah tangga semasa dan
selepas PKP. Saya sarankan kepada Kementerian Wanita dan Keluarga mengambil
langkah-langkah berikut:
• Talian khas kaunseling COVID-19 yang dikendalikan oleh
Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu
ditingkatkan perkhidmatannya dengan menambah bilangan kaunselor perkhidmatan
telekaunseling, tidak memadai hanya dengan 528 kaunselor ketika ini.
• Menjalinkan kerjasama strategik dengan melantik pakar
psikiatri luar, NGO berkaitan, rumah kebajikan dan perlindungan persendirian
sebagai sukarelawan JKM setempat yang menawarkan perkhidmatan kaunseling dan
telekaunseling kepada penduduk.
• Setelah PKP berakhir, kaunselor dan pegawai JKM perlu
ditempatkan di kawasan perumahan yang dikenal pasti berlakunya gangguan emosi
dan keganasan rumahtangga yang tinggi bagi memudahkan rakyat mendapat
mendapatkan perkhidmatan kaunseling secara terus.
Alhamdulillah, sebagai suami, bapa dan atuk sepanjang tempoh
PKP ini, saya dapat memanfaatkan masa dengan melakukan aktiviti harian bersama
anak-anak dan ahli keluarga serta melayan karenah, celoteh dan gurau- senda
bersama cucu-cucu. Di samping menggunakan komunikasi maya sebagai platform bagi
memastikan perjalanan dan aktiviti UMNO dan BN tetap berjalan. ‘Ceria
berkurung’ dapat mengelak daripada gangguan emosi dan dapat membantu
meningkatkan imuniti bagi mencegah jangkitan COVID-19. Enam panduan bagi
menghindari ketidakstabilan emosi semasa di rumah sepanjang PKP:
• Positif, fokus dan mengoptimumkan aktiviti yang paling
disukai dilakukan di rumah.
• Bijak berinteraksi bagi merangsang kreativiti diri, isteri
dan anak-anak dengan permainan dan aktiviti menguji minda.
• Elakkan memencilkan diri dalam bilik, tindakan menyendiri
dan tidak berkomunikasi dengan sesiapa boleh menjejaskan kesihatan emosi.
• Kekal berhubung dan berkomunikasi dengan rakan-rakan, ahli
keluarga, jiran tetangga, rakan sekerja dan majikan menggunakan platform video,
skype dan apa sahaja teknologi maya.
• Kekalkan diet sihat dan corak tidur. Jangan terlebih makan
atau tidur untuk mengatasi kebosanan.
• Meningkatkan amal ibadah dan berdoa di samping mengamalkan
zikir-zikir pilihan dan bacaan khusus pagi dan petang seperti Al-Mathurat, ayat
Manzil dan bacaan Hizib bagi mendapatkan ketenangan jiwa dan terpelihara
daripada sebarang musibah dan pandemik COVID-19.
Jiwa yang tenang dan tenteram dapat membentuk tindak-tanduk
yang baik dan sempurna. Apakah mungkin emosi bercelaru, jiwa yang kusut dan
serabut dapat membuat keputusan yang baik dan mampu mengurus kehidupan dengan
teratur? Ketenangan bermula dengan pemikiran dan tindakan yang positif. Syeikh
Ibnu ‘Athaillah mengatakan: “Tenangkanlah jiwamu daripada urusan kepentingan
dunia, kerana segala sesuatu yang sudah dijanjikan oleh Allah, janganlah engkau
turut memikirkannya”.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#juststayathome
#stayhomestaysafe
#kitajagakita
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor