PETALING JAYA: Usaha Malaysia untuk “meratakan keluk” kes
Covid-19 mungkin membuahkan hasil pada pertengahan Mei jika kerajaan dan orang
ramai terus menguatkuasakan langkah keselamatan yang ada, kata seorang pakar
kesihatan awam.
Dr Rafdzah Ahmad Zaki dari Universiti Malaya berkata,
bilangan kes baru mungin menurun pada akhir April sebelum keluk itu rata pada
Mei.
“Pada masa ini bilangan kes baru kelihatan berada pada aras
konstan, iaitu lebih 100 kes setiap hari. Ia masih tinggi,” katanya dengan
menambah bahawa ia mungkin berpunca daripada kegagalan orang ramai mematuhi
arahan tidak keluar rumah pada awal Mac.
Beliau berkata, anggaran mengenai matlamat meratakan keluk
didasarkan kepada keadaan semasa dan beberapa andaian di sebalik model yang
digunakan untuk meramal statistic.
“Meratakan keluk”
merujuk kepada proses kawalan penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan jumlah
kes tersebar dan tidak melonjak secara tiba-tiba, justeru megakibatkan
kemudahan kesihatan, hospital dan wad kecemasan sesak dan tidak dapat menampung
jumlah pesakit.
Rafdzah berkata, penutupan kemudahan awam di bawah perintah
kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan keluar-masuk penuh di kawasan berisiko
tinggi berjaya memperlahankan kadar jangkitan Covid-19.
“Apabila kita perlahankan kadar jangkitan, maka seperti
jangkaan, masa yang diambil untuk mencapai tahap sifar kes akan lebih lama,”
katanya.
Corak jangkitan Covid-19 di Malaysia berbeza dengan negara
lain seperti China, yang menyaksikan penularan lebih cepat wabak itu.
Bagaimanapun lonjakan semula kes jangkitan baru boleh
berlaku jika langkah kawalan ditamatkan dan orang ramai tidak mengambil langkah
perlindungan,” kata Rafdzah yang merupakan professor madya dan pensyarah dalam
bidang epidemiologi di Jabatan Sosial dan Perubatan Pencegahan.
Rafdzah berkata, taburan kes baru di Malaysia tidak sama
seperti yang berlaku di China dan Korea Selatan.
Malaysia mengalami peningkatan kes pada Mac, diikuti dengan
peningkatan ketara pada pertengahan Mac. Berlaku lonjakan mengecut 190 kes baru
pada 15 Mac berbanding 35 kes baru pada 14 Mac. Kebanyakan kes berkait dengan
himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling pada awal Mac.
“Singapura dan Jepun meratakan keluk epidemiologinya pada
paras lebih rendah daripada Malaysia. Walaupun kes mereka terus bertambah pada
kadar lebih rendah, namun trend mereka masih menaik.”
Bagaimanapun perbandingan langsung dengan negara lain sukar
dibuat kerana wujudnya perbezaan antara tahap kepadatan penduduk, sistem
penjagaan kesihatan, sumber dan budaya, kata Rafdzah.
“Kadar penggandaan (ia peningkatan hampir sekali ganda kes
dalam 1 hari) di Malaysia tidak sepantas di China dan Itali,” katanya.
“Langkah tepat pelaksanaan PKP dan mengenal pasti kawasan
zon merah membantu meratakan keluk jangkitan baru.
“Aktiviti penjejakan kontak dan isolasi secara meluas juga
mengurangkan jangkitan dalam masyarakat, sekali gus menghalang keadaan menjadi
lebih buruk daripada di Itali dan Sepanyol.”
“Walaupun terdapat tekanan supaya dilaksanakan langkah
saringan besar-besaran ke atas anggota masyarakat, kementerian tidak
terburu-buru membuat keputusan itu,” katanya.
Kapasiti makmal untuk menangani sampel juga mesti
dipertimbangkan. “Berdasarkan kriteria saringan semasa, kita masih memerlukan
masa 4-5 hari untuk mendapatkan keputusan.”
Rafdzah berkata, Malaysia bertindak baik dalam mempersiapkan
kemampuan hospital awam bagi menghadapi peningkatan mendadak jumlah pesakit
tenat yang mungkin memerlukan isolasi, oksigen dan bantuan penafasan mekanikal.
SUMBER: FMT
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor