Pages

Saturday, April 11, 2020

PKP SAMBUNG LAGI, RAKYAT MALAYSIA PERLU MULA SERIUS




KUALA LUMPUR, 11 April – Situasi di hospital menyaksikan perkembangan yang semakin memberangsangkan dengan jumlah pesakit COVID-19 pulih melebihi kes positif baharu semalam namun keadaan di luar masih penuh dengan cabaran dan perlu diberi perhatian serius oleh rakyat secara keseluruhan.


Memandangkan masih ramai rakyat yang ‘sihat’ ini degil, maka semalam sekali lagi diumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selama dua minggu buat kali kedua.


Fenomena degil rakyat Malaysia ini juga menimbulkan persoalan kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang keliru sama ada kompaun RM1,000 terhadap individu langgar PKP mungkin terlalu rendah sehingga masih ada yang ingkar.


“Saya tidak tahu mengapa masih ramai ingkar PKP, tidak pasti… kemungkinan juga kompaun RM1,000 itu terlalu rendah,” kata beliau yang juga Menteri Pertahanan.


Malah berkali-kali juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengajak rakyat secara keseluruhan berjuang bersama-sama barisan hadapan di hospital dengan cara yang amat mudah iaitu ‘duduk sahaja di rumah.’


Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula yang setiap hari bertungkus-lumus mengakui penularan pandemik COVID-19 berjaya dibendung ke tahap sedikit stabil disebabkan PKP namun ia masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan berterusan.


Dari dalam hospital, Dr Noor Hisham berkata jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan discaj dari wad sehingga semalam ialah 222 orang, melebihi kes positif baharu sebanyak 118.


Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dan discaj dari wad pula ialah 1,830 iaitu sebanyak 42.11 peratus daripada jumlah keseluruhan 4,346 kes.


Justeru, rakyat Malaysia duduk sahaja di rumah.


Letakkan noktah kepada penularan kes baharu, elak PKP fasa ketiga dilanjutkan lagi ke fasa keempat. 



SUMBER:  BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor