JOHOR BAHRU, 29 April
-- Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengaku tidak bersalah di
Mahkamah Majistret, di sini hari ini, terhadap pertuduhan membuat kenyataan
menerusi Facebook yang boleh menyebabkan kegentaran awam, awal bulan ini.
Fuziah, 61, yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa
di hadapan Majistret R. Salini.
Mengikut kertas pertuduhan, Ahli Parlimen itu didakwa
membuat kenyataan menerusi akaun Facebook 'Fuziah Salleh' di pautan
https://www.facebook.com/YBFuziahSalleh, yang boleh menyebabkan kegentaran
kepada awam di Taman Imigresen, Jalan Tasek Utara, kira-kira 10 malam, 9 April
lepas.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya,
jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah
Mohamad, manakala Fuziah diwakili peguam Hassan Karim dan John Fernandez.
Mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 dengan
seorang penjamin dan 16 Jun depan untuk sebutan semula.
Terdahulu, sebelum prosiding dimulakan, Hassan membuat
bantahan dan memohon mahkamah supaya anak guamnya dibebaskan dengan alasan anak
guamnya tidak diberikan notis awal, terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 505
(b) Kanun Keseksaan.
Hassan mendakwa Fuziah seolah-olah diserang hendap kerana
tidak dimaklumkan akan dituduh mengikut seksyen terbabit.
Namun, Nor Azizah dalam hujahannya berkata saman sudah
diserahkan sendiri kepada Fuziah di Kuantan, semalam, di mana di dalam
kandungan saman menyatakan tertuduh perlu menjawab satu pertuduhan terhadapnya
mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Fuziah, yang berbaju kurung jingga, tiba kira-kira
8.20 pagi di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru diiringi suaminya Russly
Abdul Rahman, dan beberapa penyokong.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor