Pages

Sunday, March 22, 2020

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN, KEBERSAMAAN RAKYAT HALANG COVID-19 – HISHAMUDDIN




Rakyat Malaysia sekalian,


Hari ini masuk hari kelima Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan Covid-19 atau Coronavirus di negara kita. Saya tahu, pada awalnya sebahagian kita panik dan tertanya-tanya, apa tujuan perintah ini. Sekarang, saya yakin majoriti rakyat Malaysia mulai faham kenapa perintah ini dikuatkuasakan Kerajaan.


Percayalah, perintah ini dikuatkuasakan demi menghalang penularan Covid-19 pada skala lebih besar. Ia menuntut kita berada di rumah masing-masing dan mengamalkan social distancing. Ia penting bagi menghindarkan kita daripada bergaul bebas dengan mereka yang walaupun tidak menunjukkan simptom, mungkin telah dijangkiti wabak ini. Pendek kata, perintah ini sebenarnya mampu menyelamatkan ribuan nyawa.


Sebab itulah, perintah ini wajib kita patuhi. Saya sendiri, sewaktu menghadiri beberapa Mesyuarat MKN sebelum ini, telah melihat kesungguhan luar biasa pasukan Majlis Keselamatan Negara, Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencari penyelesaian krisis ini. Tetapi kita tidak boleh harapkan mereka sahaja. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu turut memainkan peranan. Kita mesti bantu meringankan beban mereka. Sekiranya penularan wabak ini dapat dikawal, risiko kita untuk dijangkiti akan jadi lebih rendah dan jumlah pesakit Covid-19 juga akan berkurang. Keadaan ini sekaligus meredakan tekanan petugas barisan hadapan (frontliners) yang mengendalikan krisis ini.


Untuk membantu mereka, caranya amat mudah – luangkan masa di rumah. Saya faham, kita rakyat Malaysia suka keluar untuk berjumpa kenalan masing-masing. Bersilaturrahim memang budaya kita. Namun, penularan wabak ini memerlukan kita mengamalkan gaya hidup baru, sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa minggu ini. Saya percaya, tidak salah untuk kita berkorban sedikit, demi manfaat yang jauh lebih besar untuk negara.


Kita perlu ingat, Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan tidak pandai memilih bulu. Ia tidak memilih warna kulit, miskin atau kaya mahupun tua atau muda. Kita semua berisiko dijangkiti. Sekiranya Covid-19 tidak memilih-milih mangsa, kenapa perlu kita memilih-milih untuk membantu atau tidak?


Malah, dalam keadaan sekarang, bukan sahaja kita tidak boleh berkira-kira untuk membantu, tetapi juga kita perlu bersikap terbuka untuk menerima bantuan daripada sesiapa sahaja yang diyakini ikhlas untuk membantu kita. Bantuan ini termasuklah daripada Kerajaan luar negara. Wisma Putra misalnya, sentiasa berkomunikasi dengan Kerajaan China. Keakraban inilah yang membuatkan China tanpa ragu menghulurkan bantuan peralatan perubatan – face masks, hand sanitisers, Covid-19 test kits dan protective equipment untuk kegunaan frontliners. Kita juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan negara jiran seperti Indonesia bagi berkongsi maklumat serta membantu mengenalpasti rakyat Malaysia yang hadir perhimpunan tabligh di sana baru-baru ini. Selain itu, kita juga berganding bahu dengan Kerajaan Singapura demi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di sana, yang mana sebahagiannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan ini. Malah, kita juga sentiasa berhubung dengan rakan negara di Timur Tengah bagi mendapatkan pertolongan untuk perangi Covid-19.


Saya secara peribadi, tidak sangka Malaysia akan mendapat bantuan yang sebegini banyak daripada pelbagai negara. Saya percaya, ia bukanlah disebabkan saya Menteri Luar Negeri. Tetapi kerana pengiktirafan dan penghormatan mereka di luar sana terhadap Malaysia serta menganggap Malaysia sebagai rakan akrab dalam komuniti antarabangsa.


Walaubagaimanapun, kita tidak boleh berasa selesa. Kita mesti sedar yang sikap kita sebagai rakyat Malaysia turut diperhatikan dari seluruh dunia. Tiada gunanya Malaysia menerima pelbagai bantuan, tetapi pada masa yang sama, sebahagian rakyat tidak patuh perintah Kerajaannya sendiri. Nasihat saya – kita tiada pilihan selain mesti berdisiplin dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan bersungguh-sungguh. Nasihat ini juga saya tujukan kepada rakyat Malaysia di luar negara.


Seperti semua sedia maklum, walaupun ramai telah dapat dibawa pulang ke tanah air, namun masih ada rakyat kita yang terkandas di luar negara susulan pendirian Kerajaan di sana berkait Covid-19. Kami di Wisma Putra sedang bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian agar semua dapat pulang dengan segera. Biarpun saya tahu, ada segelintir yang tidak setuju untuk bawa mereka pulang kerana bimbang meningkatkan risiko Covid-19. Namun saya tetap ingin menegaskan – saya tidak akan pernah berhenti berusaha untuk bawa rakyat Malaysia pulang. Negara ini milik mereka juga. Jadi mereka ada hak untuk pulang ke tanah air pada bila-bila masa.


Pun begitu, saya juga mahu mengingatkan mereka yang dibawa pulang ini, apabila tiba di Malaysia, patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan. Pastikan juga diri dikuarantin selama 14 hari. Biarpun agak membebankan, namun langkah ini penting untuk menghentikan penularan Covid-19. Kerajaan dan Wisma Putra telah membantu saudara saudari untuk pulang. Jadi saya harap, saudara saudari juga boleh menjadi rakyat yang bertanggungjawab.


Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, dalam kita mendepani Covid-19 ini, ketepikanlah segala perbezaan dan hapuskanlah kebencian. Sekarang ialah masa untuk kita mengutamakan kesihatan diri serta kepentingan negara. Lihatlah ujian ini sebagai peluang untuk kita semua bersatupadu. Elakkan daripada menjadi penyebar berita palsu – seruan ini tidak boleh hadir daripada saya seorang sahaja. Ia mesti disampaikan oleh semua pihak dengan apa cara sekalipun.


Kita juga mesti mengingatkan antara satu sama lain, Malaysia telah lalui pelbagai ujian sebelum ini. Dan kita sebagai rakyatnya telah buktikan, yang kita boleh harunginya bersama-sama. Dengan syarat, semua kekal tenang dan lakukan perkara yang betul. Jika ini dapat kita pastikan, saya yakin, kita juga pasti mampu harungi ujian Covid-19 ini.


Bersabarlah, setiap krisis pasti ada hikmahnya. Buat masa ini, antara kebaikan yang telah dapat dilihat, kita bukan sahaja lebih mengenali, malah lebih menghargai mereka yang terlibat secara langsung dalam pengendalian krisis ini. Kepada para doktor, jururawat, kakitangan hospital, petugas di lapangan terbang serta pintu masuk negara, anggota polis dan tentera – I salute you!


Saya percaya, apabila krisis ini berakhir kelak, salah satu kunci kejayaan yang akan dicatat dalam sejarah negara ialah, semangat kebersamaan antara seluruh rakyat Malaysia. Semangat yang sama diamalkan oleh nenek moyang kita dahulu dalam menuntut Malaysia yang bebas dan Merdeka. Sekarang giliran kita pula, untuk membebaskan negara daripada sebarang kemudaratan. Demi masa depan yang cerah buat anak, cucu dan cicit kita, kita mesti perangi wabak ini habis-habisan. Saya yakin, Malaysia boleh!


Kepada seluruh rakyat Malaysia – stay safe, stay home dan paling penting stay strong!


HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
22 MAC 2020


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor