Pages

Sunday, March 22, 2020

[KUANTAN] COVID-19: LEBIH 13,000 ORANG LAYAK TERIMA BANTUAN AKIBAT PENDAPATAN TERJEJAS





Kerajaan Negeri Pahang telah mengenalpasti lebih 13,000 orang yang layak menerima bantuan selepas sumber pendapatan mereka terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan COVID-19.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan mempercepatkan pemberian bantuan itu tetapi ia mengambil sedikit masa.

“Kita cuba mempercepatkan pemberian bantuan ini, namun sudah pasti ia mengambil sedikit masa untuk kita memperincikan caranya supaya ia benar-benar sampai kepada golongan yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek di sini hari ini.

Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Abd Jalil Hassan.


Pada Khamis lalu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengumuman peruntukan khas sebanyak RM2 juta daripada kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai inisiatif membantu golongan terjejas pendapatan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail memberi nasihat tentang pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan kepada seorang pemandu kereta ketika beliau melakukan tinjauan sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek, Kuantan hari ini.



Sementara itu, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menasihati masyarakat di Pahang supaya mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan memandangkan masih terdapat peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

“Sehingga hari ini masih membimbangkan kerana tidak nampak penurunan walaupun peningkatan itu sedikit tetapi ia tetap meningkat. Kita berharap dalam masa tempoh perintah ini rakyat dapat mematuhi agar penularan wabak (COVID-19) akan dapat dibendung,” katanya.

Mengulas mengenai penglibatan anggota tentera dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan, YAB. Dato’ Sri Wan Rosdy menyambutnya dengan baik dan mengharapkan agar rakyat memahami kerajaan begitu serius untuk mengekang wabak ini.

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor