BANK Negara telah mengumumkan bahawa Ekonomi Malaysia hanya
meningkat 3.6% pada suku keempat 2019, iaitu kadar yang paling lemah sejak 10
tahun lalu.
Hal ini bermakna pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) tahun penuh 2019 sebanyak 4.3%.
Prestasi ini jauh lebih rendah daripada ramalan Menteri
Kewangan PH sebanyak 4.9% (dalam Ucapan Belanjawan 2019) dan juga tersasar dari
ramalan dalam Ucapan Belanjawan 2020, iaitu 4.7%.
Pertama, angka ini membuktikan sekali lagi bahawa Menteri
Kewangan PH tidak dapat meramalkan pertumbuhan ekonomi secara realistik dan
objektif.
Malah, Menteri Kewangan terbukti terlalu optimistik.
Kedua, Belanjawan Negara 2019 tidak dapat dilaksanakan
dengan sempurna kerana hasil kerajaan jelasnya tidak dapat menepati sasaran.
Maka, rakyat tidak dapat menikmati janji-janji yang ditabur
dalam Belanjawan secara sepenuhnya.
Ketiga, persoalan yang perlu kita ketengahkan ialah
mengapakah penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang sepatutnya ‘merancakkan dan
merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan’ tidak dapat menyelamatkan prestasi
ekonomi negara yang semakin merudum?
Keempat, Menteri Kewangan telah mengunjurkan ekonomi negara
akan berkembang dengan lebih pesat pada tahun 2020 iaitu sebanyak 4.8%.
Namun, adakah unjuran ini dapat dipercayai memandangkan
unjuran tahun 2019 salah untuk dua tahun berturut-turut?
Yang lebih membimbangkan lagi, ekonomi negara kini diimpak
besar oleh penyebaran wabak koronavirus.
Adakah Kerajaan PH masih terlalu optimistik sehingga tidak
bersedia untuk menangani isu aliran tunai operasi perniagaan?
Seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara, pertumbuhan KDNK
suku keempat 2019 merupakan pertumbuhan terendah sejak krisis kewangan 2009
berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi termasuk kejatuhan pengeluaran
kelapa sawit, minyak mentah dan gas asli.
Bagaimanakah Kerajaan PH akan merangsang pertumbuhan sektor
komoditi terutamanya sektor kelapa sawit dan getah?
Adakah rakyat luar bandar yang kebanyakkannya bergantung
kepada sektor komoditi ini akan terus ditindas, memandangkan kos hidup semakin
meningkat?
Datuk Seri Utama Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor