Pages

Thursday, February 13, 2020

KENYATAAN GUAN ENG DANGKAL BERBAUR RASIS: PECAT ATAU LETAK JAWATAN







Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenyataan Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng yang cuba merosakkan minda rakyat Malaysia berkaitan kerjasama UMNO-PAS adalah sesuatu yang dangkal dan tidak sepatutnya berlaku.

Jelas beliau, Guan Eng tidak sepatutnya menakutkan rakyat berkaitan Pakatan Nasional kerana pakatan ini tidak pernah wujud dan yang wujud hanyalah Muafakat Nasional.

“Adakah kerana kejayaan Muafakat Nasional ini maka Guang Eng mula berasa goyah dan cuba mencari jalan menyemai kebencian di jiwa rakyat? Adakah Guan Eng terlupa bahawa dia kini adalah sebahagian daripada kerajaan dan sepatutnya sudah meninggalkan permainan politik persepsi dan pemikiran ‘pembangkang’ dan mula belajar bagaimana menjadi pemimpin kerajaan dalam membela nasib rakyat.

“Kenyataan Guan Eng kononnya penyatuan politik Melayu (UMNO-PAS) merupakan gendang perang kepada bukan Melayu, kerjasama UMNO-PAS berbahaya kepada masyarakat dan ia membawa zaman kegelapan seperti negeri Kelantan adalah satu kenyataan yang amat biadap dan boleh merosakkan keharmonian antara kaum di negara ini. Malah semasa PAS memerintah Kelantan, kaum bukan Melayu dan bukan Islam tidak pernah dipinggirkan malah hidup selesa bersama kaum lain, mereka juga dapat menerapkan budaya Melayu dalam kehidupan mereka dengan sukarela dalam proses asimilasi yang begitu aman.

“Sungguh hairan kenapa mesti mengatakan kerajaan yang didominasikan Islam itu adalah zaman gelap sedangkan negara-negara Islam seperti Arab Saudi, UAE, Turki dan sebagainya antara negara yang berkembang pesat malah Islam mengajar untuk menerima kepelbagaian kaum dan saling hormat menghormati,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Ismail yang juga Naib Presiden UMNO, selama 61 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah, kaum lain juga diberi ruang seluas-luasnyanya di dalam negara ini sehinggakan kaum Cina menguasai ekonomi negara dan Malaysia adalah satu-satunya negara dalam dunia yang mempunyai sekolah beraliran berdasarkan kaum.

“Sebenarnya kenyataan Guan Eng ini datangnya dari sikap rasis sempit yang ada pada dirinya, maka, zaman kegelapan yang dimaksudkan Guan Eng itu sepatutnya dituju kepada pemerintahan Komunis di mana Komunis bersikap bunuh-membunuh dan rasis. Kenyataan Guan Eng ini juga membuktikan beliau tidak layak menjadi pemimpin negara Malaysia yang agama Persekutuannya adalah Islam dan institusi beraja yang beragama Islam kerana Guan Eng ternyata seorang Islamophobia.

“Kenyataan Guan Eng ini juga sebenarnya adalah satu strategi menutup kelemahan beliau sebagai menteri kewangan yang gagal.

“Ini terbukti apabila Bank Negara mengumumkan bahawa Ekonomi Malaysia hanya meningkat 3.6% pada suku keempat 2019, iaitu kadar yang paling lemah sejak 10 tahun lalu sekaligus terburuk sejak 2009,” tegas beliau.

Justeru, Ismail mendesak Guan Eng untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutama kepada umat Melayu Bumiputera serta seluruh umat Islam di atas penghinaan ini.

“Beliau tidak layak lagi menjadi menteri dan anggota pentadbiran kerajaan di atas sikap rasis sempit dan Islamiphobia ini.

“Sama ada beliau letak jawatan atau Perdana Menteri harus pecat sahaja Guan Eng kerana sekiranya terus mengekalkan individu yang berterusan menghina umat Melayu Bumiputera Islam di dalam Kabinet, dibimbangi ia akan menimbulkan bahaya sengketa kaum dan agama di negara ini,” bidas beliau lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor