Khabar yang sedang berlegar bahawa UMNO akan dilamar untuk
bersama-sama mengukuhkan kepentingan politik Melayu.
Apa jua lamaran untuk UMNO menunjukkan UMNO telah didambakan
semula dan menjadi terus berpengaruh.
Namun, yang melamar haruslah jelas dalam tujuannya. Jika
benar ia demi kepentingan Islam dan bertujuan mengukuhkan kepentingan bangsa,
maka wajarlah lamaran itu difikirkan semasak-masaknya.
Kepada yang dilamar pula, janganlah terlalu berbunga-bunga
hatinya. Jangan berasa terlalu didambakan. Jangan sesekali terburu-buru hanya
kerana sekali dua telah bertentang mata. Pesona nafsu kekadang sangat
merbahayakan.
Dalam politik, kita mesti ada kejelasan dalam tujuan,
aspirasi dan tindakan. Paling penting, dalam politik jangan pernah kita lupa
apa itu ‘perjuangan’.
Pertimbangkanlah perkara berikut dengan semasak-masaknya.
Adakah tujuan lamaran itu ikhlas dan strategik kepada
kepentingan bangsa, agama dan parti? Akankah ia menguntungkan parti dan bangsa
Melayu dalam jangka masa panjang? Juga kemudaratannya kepada UMNO dan bangsa
Melayu jika ia tidak laksanakan.
Adakah jika lamaran itu ditolak, kedudukan dan kepentingan
Melayu itu akan jadi lebih parah?
Dan jika dilaksanakan apakah pula modus operandinya?
Bagaimanakah pelan ini akan dilaksanakan agar boleh memaksimumkan kebaikan
kepada parti dan bangsa Melayu?
Semua ini perlu diperhalusi sedalam-dalamnya. Janganlah kita
gopoh. Berhikmahlah dalam perhitungan kita. Kita mesti ingat. Sesuatu yang
kelihatan dan kedengaran terlalu baik itu, boleh jadi perkara yang sebaliknya.
‘Too good to be true’ adalah ratib berwaspada yang sebenarnya matang dan
berasas.
Saranan saya, kita bawalah segala lamaran itu ke meja
perbincangan pelbagai peringkat dalam parti. Bincangkan. Bahaskan. Dengan
mendalam, dengan sejujur-jujurnya.
Agar kita tidak terperangkap dalam permainan politik
pihak-pihak tertentu. Dan agar UMNO tidak berpecah-belah hanya kerana kita
terlalu cepat menerima lamaran yang sebenarnya masih samar-samar dan sarat
dengan tanda tanya.
Sekalipun ingin menarik rambut dalam tepung, tepung jangan
berselerak, jangan pula putus rambutnya. Jangan hanya baru mendengar guruh di
langit, air di tempayan telah kita curahkan. Takut-takut, yang dikejar tak
dapat, yang dikendong pula keciciran.
Ingatlah, hal yang demikian kerap terjadi. Sebab itulah ia
dipesankan kepada kita dengan bersebab.
Semoga Allah SWT memberikan hidayah dan menunjukkan jalan
terbaik untuk UMNO dan bangsa Melayu, insya-Allah.
Mohamad Haji Hassan
Timbalan Presiden UMNO
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor