PETALING JAYA: Muafakat Nasional PAS-Umno mendesak kerajaan
agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua dakwaan
salah laku, penyelewengan dan skandal dalam Lembaga Tabung Haji (TH) seperti
yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, setiausaha agung
Umno, Annuar Musa dan setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata, RCI itu
adalah bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan pelabur kepada TH.
“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku
dalam Tabung Haji yang sehingga kini tidak ada satu pun didakwa ke muka
pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat, termasuk
ura-ura pengurangan subsidi buat jemaah Haji atas justifikasi konsep
Istitha’ah.
“Terbaru, isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang
milik TH Plantations seluas 101,000 hektar sehingga menjadi hanya 24,000 hektar
dengan cara yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4
juta pendeposit dalam kalangan umat Islam,” kata kenyataan itu lagi.
Pada 12 Feb lepas, ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki
membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa yang enggan
berdialog berkaitan pelbagai tuduhan yang dibuatnya terhadap kerajaan Barisan
Nasional (BN) berhubung isu TH.
Asyraf berkata, Mujahid sebaliknya “menghantar” seorang ahli
jawatankuasa Amanah, Muhammad Faiz Fadzil, yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia untuk berdebat dengannya.
Dalam pada itu, Muafakat Nasional menyuarakan kebimbangan
mengenai penjualan aset hartanah milik TH bernilai RM10 bilion kepada syarikat
Kementerian Kewangan , Urusharta Jemaah Sdn. Bhd.
Ia berkata, aset tersebut, termasuk tanah TRX bernilai RM400
juta dan hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak memberi sumbangan
kepada perolehannya.
“Harus diingat Tabung Haji adalah institusi yang cukup
istimewa di hati rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya.
“Sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam
merealisasikan matlamat penubuhannya, yang bukan sahaja menguruskan segala
keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana
ekonomi umat Islam,” katanya.
Mereka berkata, kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja
diktiraf oleh dunia, malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun
membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus secara purata tidak kurang
daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.
“Sebab itu apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal,
defisit yang melanda secara tiba-tiba dibuat sejurus selepas PH memerintah,
maka ia mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan,” katanya.
SUMBER : UMNO ONLINE , FREEMALAYSIATODAY
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor