KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman
mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini bahawa mantan Raja Arab, Almarhum
Raja Abdullah merupakan seorang penyokong kuat Datuk Seri Najib Razak.
Anifah yang tampil sebagai saksi pembelaan perbicaraan SRC
International Sdn Bhd yang sudah masuk hari ke-80 hari ini menyatakan perkara
itu ketika membaca keterangan saksinya di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd
Ghazali.
Malah kata Anifah, Raja Abdullah sememangya seorang yang
begitu kagum dengan cara bekas perdana menteri menerajui negara sehingga
menawarkan sumbangan derma bagi kegunaan politik Najib.
“Raja Abdullah mahu memberikan sumbangan derma kepada Najib
kerana beliau kagum melihat cara negara ini diterajui dalam kesederhanaan.
“Sumbangan itu juga diberikan kerana mahu membantu mengekalkan
kestabilan sedia ada terutamanya dengan mengekang pengaruh ekstremisme yang
tidak baik dari luar.
“Pada masa sama, Raja Abdullah juga mendapat tahu Malaysia
bakal berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 dalam tempoh kurang dari tiga
tahun ketika mesyuarat itu diadakan,” kata beliau dalam keterangan saksi itu.
Anifah juga menceritakan bagaimana akrab hubungan Raja
Abdullah dan Najib sehingga ada satu ketika apabila Najib begitu terpesona
melihat sebuah lukisan yang mempamerkan kuda jantan Arab di laluan keluar
Istana di Riyadh.
Raja Abdullah yang menyedari keterujaan itu dengan segera
menawarkan seekor kuda Arab kepada Najib.
“Raja Abdullah mengambil maklum pujian itu dan menawarkan
kepada Najib salah seekor kuda Arab jantan yang dimilikinya. Namun begitu,
Najib telah menolaknya dengan sopan sambil menyatakan beliau tidak pandai
menunggang kuda,” kata Anifah.
“Apa yang saya lihat di situ, tawaran seperti itu sudah
menunjukkan betapa hubungan mereka sangat rapat malah saya boleh katakan mereka
sudah umpama ‘anak dan bapa’ bagi bertemu apatah sering berpegang tangan dengan
begitu erat,” ujarnya.
Najib ketika ini sedang membela diri terhadap tujuh
pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International yang terdiri daripada
tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan
satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.
SUMBER –MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor