WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan
Rosdy Wan Ismail menyarankan agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman
Negara (Perhilitan) dapat meningkatkan kerja-kerja penguatkuasaan demi
kelestarian Tapak RAMSAR Tasik Bera.
“Tapak RAMSAR Tasik Bera yang berkeluasan 31,255 hektar,
sepatutnya terpelihara alam sekitarnya memandangkan kewujudan zon penampan yang
mengelilinginya sehingga seluas kira-kira 77,380 hektar atau lebih sekali ganda
keluasan tapak berkenaan.
“Oleh itulah, Kerajaan Negeri menekankan tentang kepentingan
aspek penguatkuasaan yang diharap dapat diambil oleh Jabatan Perhilitan –
sebuah jabatan Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber
Asli (KATS),” tegasnya.
Menurut beliau, Jabatan
Perhilitan juga dilantik mengetuai Unit Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera
(UPTRTB) dengan bantuan jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan,
Jabatan Kemajuan Orang Asli, dan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser atau kini
dikenali Tourism Pahang.
Sejak UPTRTB diwujudkan menerusi keputusan Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun 1999, semua perancangan pembangunan di Tasik
Bera mestilah berpandukan kepada pelan Pengurusan Bersepadu Tasik Bera
sepertimana disediakan oleh Wetlands International Asia Pacific.
Pada tahun lepas (2019), Pelan Pengurusan Bersepadu Tapak
RAMSAR Tasik Bera yang disediakan oleh Jabatan Perhilitan dengan kerjasama KATS
dan Kerajaan Negeri pula diperkenalkan, demi memastikan semua pelaksanaan
pembangunan mampan di tasik itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Selain itu, Rancangan Kawasan Khas (RKK) mengenai pengurusan
pembangunan bagi pemuliharaan Tapak Ramsar Tasik Bera juga disediakan oleh
Majlis Daerah Bera (MDB) dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa
(JPBD) Negeri atau kini, PlanMalaysia@Pahang.
RKK ini yang diperkenalkan tahun lepas juga, bermatlamat
untuk mengukuhkan lagi pemuliharaan Tapak Ramsar Tasik Bera serta memastikan
pembangunan di kawasan persekitaran terutamanya pertempatan Orang Asli, tidak
menjejaskan tapak berkenaan.
Dengan inisiatif-inisiatif yang disebutkan ini, seharusnya
tiada isu khususnya bekenaan pencemaran alam sekitar yang timbul di Tapak
RMASAR Tasik Bera ini namun laporan mengenainya terutamanya tentang
pencerobohan dan kemusnahan alam sekitar, masih dilaporkan juga.
Ini masih berlaku disebalik tahun lepas, 22 rondaan
penguatkuasaan dijalankan oleh Jabatan Perhilitan dengan tindakan-tindakan
antara lainnya –
Mengenalpasti dan bertindak ke atas kawasan hutan dicerobohi
haram dan memastikan tiada pembalakan haram, memusnahkan jerat-jerat binatang
serta pondok-pondok pemburu haram, serta, menjalankan pemeriksaan ke atas orang
awam yang ditemui untuk mengetahui tujuan kehadiran mereka dalam kawasan
berkenaan.
Oleh itulah Kerajaan Negeri berharap, kerja-kerja
penguatkuasaan dapat diperkukuhkan lagi, sambil meminta semua pihak untuk
memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan matlamat memelihara Tapak
RAMSAR Tasik Bera ini.
Sumber – Khabar
Pahang
http://khabarpahang.blogspot.com/2020/02/tingkatkan-lagi-penguatkuasaan-demi.html?m=1
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor