KUALA LUMPUR, – Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Majid
melahirkan rasa kesal berkenaan isu empat buah hotel di bawah Kumpulan TH Hotel
& Residence Sdn Bhd yang juga merupakan anak syarikat Tabung Haji (TH) yang
ditamatkan operasinya berkuat kuasa April ini.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO Perak menuntut kerajaan
Pakatan Harapan (PH) terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Mujahid Yusuf yang bertanggungjawab kepada TH dan Menteri Kewangan, Lim Guan
Eng memberi jaminan bahawa penamatan operasi hotel ini tidak membawa kepada
penjualan aset-aset tersebut.
“Kami amat khuatir dengan perkembangan mutakhir ini banyak
aset atau syarikat milik Kementerian Kewangan amnya dan milik Kerajaan Malaysia
khasnya yang telah dijual.”
Katanya, kisah penamatan operasi empat buah Hotel ini
seolah-olah satu rencana atau episod penjualan baru bangunan hotel-hotel
tersebut.
“Umum mengetahui, hibah kepada penyimpan deposit TH dan juga
subsidi bagi pendeposit mengerjakan haji datangnya daripada pelaburan yang
dibuat oleh TH ke atas perniagaan yang menguntungkan dan mematuhi syariah.
“Jelas, selepas 20 bulan pemerintahan PH, banyak aset milik
kerajaan terjual termasuk ladang yang dimiliki oleh TH Plantations dengan harga
yang jauh lebih murah kepada syarikat korporat yang berunsurkan keuntungan
semata-mata sebelum ini. Adakah empat bangunan hotel ini juga nanti akan dijual
dengan alasan tidakmampu menanggung kos operasi?” katanya dalam satu hantaran
di Facebook, hari ini.
Katanya, umum sedia maklum keempat-empat hotel ini mendapat
rating yang tinggi daripada pengunjung melalui perkhidmatan yang ditawarkan.
Jadi, agak mustahil sekiranya hotel-hotel ini mengalami kerugian yang mendadak.
“Kami juga menuntut penyelesaian pihak kerajaan kepada
ratusan kakitangan yang akan diberhentikan kerja nanti. Bagaimanakah mereka
akan meneruskan kehidupan mereka dan keluarga di masa akan datang. Apakah
jaminan kepada mereka untuk mendapat peluang pekerjaan lain.
“Sudahlah sebelum ini PH menjanjikan 1 Juta peluang
pekerjaan tetapi gagal, malah puluhan ribu hilang pekerjaan di era pemerintahan
PH. Tambahan dengan keadaan penutupan operasi ini sudah pastinya kadar
pengangguran negara akan terus meningkat,” ujarnya.
SUMBER – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor