KUANTAN - Golongan nelayan di negeri ini dinasihatkan supaya
tidak memegang obor-obor api atau Portuguese Man O War jika hidupan air itu
tersangkut pada pukat.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Azahari Othman
berkata, racun yang terdapat pada obor-obor tersebut amat merbahaya kerana
boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.
Menurutnya, hidupan air itu kebiasaannya mendiami lautan
Pasifik, tetapi kini obor-obor bersaiz kecil dan beracun itu kini ditemui di
perairan negara sehingga menimbulkan kebimbangan semua pihak.
"Kita minta nelayan yang melihat atau menjumpai
obor-obor api tersebut segera hubungi pejabat perikanan daerah untuk tujuan
siasatan.
"Apabila terdapat maklumat mengenai kewujudan obor-obor
api itu, hebahan dapat dilakukan sebagai peringatan kepada orang ramai termasuk
mereka yang terlibat dengan aktiviti di pantai atau di laut,” katanya ketika
dihubungi Sinar.
Azahari berkata, antara ciri obor-obor api itu sebahagian
badannya berwarna biru dan mempunyai beribu sel penyengat.
“Sengatannya boleh menyebabkan mangsa rasa sakit kepanasan
hingga kulit seperti terbakar. Justeru, kita ingatkan orang ramai supaya
berhati-hati dan mengelak daripada menyentuh hidupan itu jika terjumpa,”
katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak
menyentuh haiwan itu walaupun ditemui dalam keadaan mati kerana racunnya masih
ada dan aktif jika tersentuh.
Dalam pada itu, Azahari turut menasihatkan pengunjung pantai
di negeri ini dan individu yang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan
pantai supaya lebih berhati-hati bagi mengelak terkena obor-obor api yang
mungkin muncul tanpa disedari.
"Racun yang terdapat pada obor-obor api ini begitu
merbahaya. Sekiranya haiwan itu ada di temui di mana-mana kawasan pantai,
elakkan daripada melakukan aktiviti di kawasan itu termasuk mandi-manda.
"Obor-obor api ini dilaporkan ditemui di Terengganu dan
Johor sebelum ini dan tidak mustahil ia turut muncul di perairan negeri
ini," katanya.
Beliau berkata, pantai Pulau Tioman mungkin terdedah dengan
kehadiran obor-obor api terutama selepas hidupan air masin itu ditemui di
perairan Johor bulan lalu.
Katanya, faktor arus air laut yang berarus angin kencang
membolehkan hidupan air terbabit sampai pada bila-bila masa di kawasan perairan
negeri ini.
Azahari menambah agensi pelancongan juga perlu peka dalam
isu ini dengan mengawasi sebarang aktiviti di laut termasuk memantau aktiviti
selaman dan mandi manda dalam kalangan pelancong.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor