JERANTUT - Pahang mencatatkan kes pertama penjualan topeng
muka melebihi harga kawalan selepas sebuah klinik swasta di Kuala Lipis dikesan
melakukan kesalahan tersebut.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP) Cawangan Jerantut mengesan kes itu Sabtu lalu apabila mendapati
topeng muka tiga lapis dijual pada harga RM1 seunit melebihi harga kawalan
iaitu 80 sen.
Ketua Cawangannya, Abdul Mubin Ahmad berkata, pihaknya
melakukan pemeriksaan di klinik itu selepas menerima aduan daripada orang awam.
"Sebanyak 300 keping topeng muka disita dalam operasi
tersebut. Pemilik premis yang berusia 56 tahun didapati melakukan kesalahan di
bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya
pada sidang akhbar di pejabat cawangan itu di sini hari ini.
Abdul Mubin memberitahu, kompaun sebanyak RM10,000 dikenakan
kepada pemilik premis terbabit dan dijelaskan oleh pemiliknya.
"Sekiranya gagal dijelaskan dalam tempoh 14 hari,
tindakan mahkamah akan diambil dan sekiranya bersalah penalti sebanyak
RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Sehingga hari ini, KPDNHEP Jerantut telah memeriksa 64
premis berkaitan penjualan topeng muka," katanya.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor