Pages

Wednesday, January 23, 2019

CAMERON HIGHLANDS: JANGAN NAFIKAN SUMBANGAN BN BANTU RAKYAT DAN ORANG ASLI







Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman hairan melihat sikap segelintir pihak di negara ini seolah-olah menafikan serta tidak tahu apakah sumbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan rakyat termasuklah masyarakat Orang Asli.

Justeru menurutnya jika pihak tersebut masih meragui, sewajarnya mereka mempunyai pilihan merujuk perkara sedemikian daripada pakar-pakar yang berkaitan serta golongan profesional.

“Mana-mana pihak ataupun pemimpin atau sesiapa pun yang ingin mendapatkan penjelasan yang lebih rasional eloklah mereka pergi bertanya kepada golongan-golongan cendekiawan, profesional termasuklah penjawat-penjawat awam dan pelajar-pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagaimana mereka melihat pembangunan masyarakat Orang Asli dari dahulu hinggalah sekarang.

“Pastinya mereka akan berkata bahawa apa yang mereka capai selama ini tidak dapat lari daripada dasar, pelaksanaan dan gerak kerja yang disusun rapi yang dilaksanakan oleh kerajaan BN,” ujarnya kepada UMNO-Online, mengulas mengenai senario kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang bertindak seboleh mungkin menafikan jasa BN dalam membantu serta membangunkan masyarakat Orang Asli.

Katanya, pembangunan kawasan penempatan semula yang bernilai berpuluh-puluh juta ringgit, projek-projek infrastruktur yang menelan belanja berbilion ringgit termasuklah air, eletrik dan jalan raya, pembinaan sekolah serta program-program peningkatan ekonomi adalah merupakan bukti BN tidak pernah mengabaikan masyarakat tersebut.

Dilaporkan, baru-baru ini, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada sesi dialog di Oxford Union, London, dalam reaksinya mengakui bahawa Orang Asli di Malaysia diberi peluang dalam arus pembangunan negara sehinggakan ada dalam kalangan mereka menjadi wakil di Dewan Negara serta diberi hak yang sama mendapat pendidikan hinggalah ke peringkat tertinggi.

Secara tidak langsung ia jelas membuktikan serta mengiktiraf BN dalam membangun dan meningkatkan taraf hidup Orang Asli selama lebih 60 tahun menguasai kepemimpinan negara ini.

Justeru jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai itu lagi, BN adalah sebuah parti yang pragmatik dan membuat keputusan berdasarkan kepentingan semua pihak apabila meletakkan Ramli Mohd Nor, seorang anak tempatan dari etnik Semai sebagai calon dalam PRK Cameron Highlands ini.

“Kita sentiasa mengiktiraf dan terbukti berjaya membawa masyarakat Orang Asli yang jauh dari terpinggir sebelum kemerdekaan dan hari ini kita menempatkan Orang Asli di tempat yang tinggi martabatnya di kaca mata masyarakat Malaysia dan antarabangsa secara keseluruhannya,” ujarnya.

Sehubungan itu, tambah Norol, ini merupakan satu peluang yang perlu direbut oleh pengundi Cameron Highlands untuk memilih seorang wakil yang benar-benar dekat dan faham keperluan rakyat di kawasan Parlimen tersebut.

“Saya fikir ini satu peluang yang direbut oleh masyarakat di Cameron Highlands ini untuk memilih seorang wakil yang mempunyai kefahaman dan strategi untuk membangunkan atau membela nasib di Cameron Highlands.

“Ini juga satu usaha untuk kita menunjukkan satu dasar Barisan Nasional yang selama ini sentiasa menjaga kepentingan pelbagai kaum dan diharapkan dapat kita teruskan tradisi ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor