Pages

Friday, November 23, 2018

MENTERI DISINDIR BARU TAHU SISTEM REL TANPA DREBAR



Menteri Disindir Baru Tahu Sistem Rel Tanpa Drebar



AKIBAT menunjukkan kekaguman pada kereta api rel MRT tanpa pemandu, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad menjadi sasaran trol terkini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib dalam hantaran terbaharu di Facebook menyindir Khalid yang kelihatan seperti pertama kali sampai ke Kuala Lumpur dan menggunakan perkhidmatan rel tanpa pemandu.

Semalam, Khalid dilaporkan pertama kali menaiki perkhidmatan MRT yang dibina semasa era Najib, dan memuji kecanggihannya sebagai setaraf negara maju.

“Saya diberitahu, MRT ini tidak ada pemandu. Ia dikawal dari bilik kawalan operasi,” beliau dilapor berkata.

Sistem pengakutan rel tanpa pemandu sudah lama digunakan di Malaysia, yang kali pertama bermula pada 1998 dengan sistem transit aliran ringan (LRT) yang pada masa itu dikenali sebagai LRT Putra.

Najib turut menyindir kerajaan Pakatan Harapan yang selama ini berkempen menuduh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai bankrap.

“Projek ini dibina oleh kerajaan yang dikatakan bankrap pada satu ketika dahulu dengan kos RM21 bilion dan penjimatan sebanyak RM2 bilion.”

Menurut bekas perdana menteri itu lagi, MRT Sungai Buloh-Kajang itu juga telah menghasilkan 130,000 pekerjaan.

“MRT Sg Buloh-Kajang ini tak besar impaknya. Cuma hasilkan 130,000 pekerjaan. Ia juga diusahakan oleh anak-anak Malaysia,” kata Najib.

“Ada graduan dari institusi tempatan dan ramai juga anak-anak kita dari luar negara kembali ke tanah air untuk menjayakan projek ini,” katanya lagi.

Najib turut menjelaskan yang sistem pengangkutan ini bermanfaat dan digunakan berjuta warga kota, dan pada masa sama mengambil kesempatan menyentuh mengenai status terkini projek MRT yang dirancang, yang mungkin dibatalkan oleh kerajaan PH.

“Tak ramai juga yang gunakan MRT ni. Kira-kira beberapa juta orang sahaja jadi tahniah YB Menteri antara orang-orang pertama yang menjejak kaki di sistem pengangkutan awam moden kita.

“Dalam perancangan kerajaan bankrap dahulu, ada juga perancangan untuk 2 lagi MRT iaitu MRT 2 Sg Buloh-Serdang-Putrajaya dan MRT 3 Circle Line,” jelas Najib.

“Tapi tak pasti lah apa statusnya yang terkini,” katanya.

“Apapun, selamat datang ke Kuala Lumpur dan semoga YB menikmati Malaysian Hospitality kami.”


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor