Pages

Friday, November 23, 2018

ADA PHD TAPI PEMIKIRAN SINGKAT, SAMPAI BILA MENTERI PENDIDIKAN AKAN BERCAKAP IKUT MUSIM?





Pemuda UMNO Malaysia mendesak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik agar lebih berfikiran jauh menyentuh soal dasar atau teras pendidikan daripada berterusan membangkitkan perkara remeh-temeh.

Menurut Exconya Shahrul Nasrun Kamarudin, sebagai seorang yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran Falsafah (PHD) seharusnya Dr. Maszlee merancang dasar bagi kementeriannya sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun atau sepuluh tahun mendatang.

“Apakah dasar yang Dr. Maszlee cuba perkenalkan setakat ini? Jawapannya tiada. Bila kementerian tiada dasar untuk tempoh lima tahun atau sepuluh tahun ia akan jadi caca-marba kerana tiada perancangan.

“Dan tidak mustahil dalam lima tahun Dr. Maszlee akan bercakap mengikut musim,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sewajarnya sebagai menteri, Dr. Maszlee perlu fokus kepada isu besar terlebih dahulu sebagai contoh isu guru duka-lara atau masalah lambakan siswazah perguruan kerana ramai di antara mereka belum diberikan tempat selepas bertahun-tahun tamat pengajian.

“Dua contoh di atas adalah antara isu melibatkan sektor pendidikan yang perlu diberi perhatian khusus oleh menteri pendidikan.

“Jadi usah fokus perkara remeh, sekiranya murid perlu diberikan kemahiran berenang masukkan dalam aktiviti kokurikulum dan ia tidak perlu diwajibkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Shahrul tidak membantah mengenai cadangan Dr. Maszlee berkaitan kemahiran berenang kerana ia amat berguna kepada murid-murid tetapi harus diteliti adalah soal kepakaran tenaga pengajar selain masalah utama ketiadaan kemudahan atau fasiliti kolam renang di sekolah.

“Saya tergelak bila menteri pendidikan fikir dengan berbincang bersama pengusaha hotel agar benarkan kolam renang digunakan oleh murid sekolah, maka selepas ini hampir dua juta pelajar dapat manfaat dan kemahiran berenang.

“Sesetengah hotel mungkin membenarkan kolam renang mereka digunakan atas dasar CSR (tanggungjawab sosial korporat) tetapi berapa banyak sekolah yang berdekatan hotel atau kompleks renang?

“Bagaimana dengan sekolah di luar bandar atau yang terletak di kawasan pedalaman. Di mana murid-murid sekolah luar bandar mahu menjalani pelajaran renang jika diwajibkan kelak? Adakah murid sekolah luar bandar boleh mengikuti kemahiran dan pelajaran renang di sungai, lombong, tali air dan parit?” soalnya.

Sebagaimana dilaporkan oleh media perdana, cadangan menggunakan kolam renang hotel mendapat reaksi negatif dari Persatuan Hotel Malaysia (MAH) di mana isu keselamatan menjadi faktor utama kerana kebanyakan kolam renang hotel tidak direkabentuk untuk pembelajaran berenang.

Begitu juga isu kebimbangan aksesibiliti kerana kemudahan hotel dibayar oleh pelancong dan oleh itu ia didedikasikan untuk kegunaan eksklusif mereka.

Shahrul turut memetik statistik yang Dr. Maszlee gunakan sebagai rujukan di mana kematian murid akibat lemas dari tahun 2009 sehingga 2013 adalah 596 kes secara purata 120 kes setahun.

“Dari statistik sepanjang lima tahun sebanyak 596 kes, bermakna pelajaran renang bukan satu keperluan mendesak dan tidak perlu tergesa-gesa Kementerian Pendidikan mahu melaksanakannya,” tegasnya.

Justeru, Shahrul turut menitipkan sedikit pesanan buat Dr. Maszlee.

“YB, ‘you’ bukan bodoh cuma ‘you’ ada satu masalah iaitu selalu rasa diri sendiri saja yang pandai. Bila seseorang fikir dia saja pandai, maka dia tidak sedar perkara bodoh yang keluar setiap kali dia buka mulut,” sinisnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor