Dua cadangan naik taraf laluan di Cameron Highland kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dikemukakan Kerajaan Pahang bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di pusat pelancongan itu.
Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan projek pertama ialah kerja naik taraf jalan berkembar dua lorong kepada tiga lorong di laluan Persekutuan Tapah - Cameron Highlands.
“Kertas cadangan naik taraf itu dihantar kepada JKR pada Julai lalu dan kita harap diluluskan segera. Cadangan kedua pula ialah menaik taraf jalan di laluan Tapah - Cameron Highlands dengan simpang-simpang jalan Langgak Mercu, Jalan Tengkolok, Jalan Persiaran Dayang Endah dan Jalan Masjid di Tanah Rata.
“Bagi cadangan projek kedua pula dikemukakan kepada JKR Pusat, negeri dan daerah Cameron Highlands pada Oktober lalu bagi membolehkan ia dipertimbangkan ke peringkat Pengurusan Nilai serta diberikan kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Cheong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) yang ingin mengetahui mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands setiap kali musim cuti umum dan cuti persekolahan.
Selain cadangan naik taraf laluan berkenaan, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga mendapat kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan kakitangan Majlis Daerah Cameron Highlands bagi memastikan kelancaran aliran trafik di pekan berkenaan.
“Agensi terlibat akan menggerakkan pegawai dan anggota dari semua cawangan IPD Cameron Highlands dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada kesalahan menghalang lalu lintas,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor