Kerja-kerja pembinaan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maran yang terbakar dalam kejadian pada Februari tahun lalu, tidak dibatalkan seperti yang didakwa.
Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebaliknya ia ditangguhkan disebabkan pertukaran Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, peruntukan bagi membinaan asrama itu telah diluluskan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada Oktober 2017 sebanyak RM2.25 juta.
“Tapi, melalui surat dikeluarkan pihak ECERDC pada 17 Mei lalu memaklumkan bahawa semua projek membabitkan kerajaan Pusat sebelum PRU14 yang belum menerima surat setuju terima (SST) ditangguhkan (pelaksanaanya) sehingga tender dibuka atau ditawarkan semula kepada kontraktor.
"Ini bermaksud, projek ini akan dilaksanakan kemudian (selepas proses tender dibuka) dan bukannya dibatalkan,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Sofian Abdul Jalil (Pas-Luit) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dun Pahang Ke-14, yang ingin tahu status pembinaan asrama SMA Maran yang musnah dalam kebakaran tahun lalu.
Menyentuh mengenai persoalan itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip ) sedang mendapatkan maklum balas daripada menteri berkaitan hal ehwal agama Islam untuk mempertimbangkan penyaluran semula peruntukan itu bagi memastikan keselesaan pelajar SMA Maran.
Jelasnya, bagaimanapun buat masa ini semua pelajar SMA Maran ditempatkan di kuarters guru dan warden serta stor simpanan sekolah berkenaan yang sudah diubahsuai.
“Keselesaan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan kita berharap kerajaan Pusat boleh menyegerakan penyaluran peruntukan.
“Jika peruntukan itu dapat disalurkan segera ia pasti akan membolehkan pembinaan asrama lebih selesa untuk pelajar sekolah berkenaan,” katanya
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor