Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Bera 2018 akan berlangsung selama empat hari bermula semalam penuh dengan pelbagai aktiviti serta acara menarik membabitkan masyarakat khususnya warga Bera.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Usahawan Desa, Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, antara aktiviti dijalankan seperti seminar keusahawanan, pertandingan hiasan kek, pertandingan hafazan, persembahan anggota tentera dari Kem Bera, Fun Ride, KUD Walk @ Bera, street soccer serta futsal.
Beliau berkata, KUD @ Bera turut dimeriahkan dengan pelbagai acara pada waktu malam termasuk ceramah perdana pada Jumaat, ceramah sempena Israk Mikraj pada Sabtu dan Konsert KUD @ Bera 2018 pula akan berlangsung pada malam terakhir karnival.
Seramai 15 peserta Program Quick Win mendengar taklimat berkaitan teknik pembaikan telefon bimbit yang disampaikan penceramah, Mohd Zulkifli Abu Bakar.
“Pada hari ini (semalam), seramai 100 peserta berumur dari 18 hingga 60 tahun mengikuti seminar keusahawanan dan program Quick Win untuk membantu bakal usahawan memulakan perniagaan, dan usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Di samping itu, terdapat juga 52 gerai jualan dibuka bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan meningkatkan jualan mereka dan mempromosikan produk mereka. Malah memberikan ruang kepada pengunjung untuk mempunyai lebih banyak pilihan membeli,” katanya sempena KUD @Bera 2018, di sini, semalam.
Wan Azilawati berkata, pihaknya turut menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk dua buah motosikal kepada pengunjung bertuah dalam acara Cabutan Bertuah sepanjang karnival berlangsung.
Sementara itu, hari pertama karnival menyaksikan sambutan luar biasa apabila ribuan pengunjung membanjiri Laman Kerayong sehingga petang, semalam.
Dijangkakan pengunjung menjangkau sehingga 30,000 bagi memeriahkan karnival berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor