Alor Setar – Seramai 4,000 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dari 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu didakwa keluar parti berkuat kuasa semalam.
Mereka didakwa mengambil keputusan itu kerana kecewa dengan pemilihan Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah Datuk Phahrolazi Mohd Zawawi sebagai calon kawasan itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.
Ketua PDM Alor Melintang Muhamad Rizal Zainol Abidin yang mewakil 15 PDM terbabit berkata sehubungan itu, kesemua mereka didakwa mengambil keputusan untuk menyertai Umno, juga berkuat kuasa serta-merta.
“Kami merasa telah dikhianati kerana setelah bertungkus-lumus menyiapkan jentera, merekrut simpati kepada Pakatan Harapan, tiba-tiba suara majoriti pihak kami agar kerusi Alor Mengkudu diberikan pada calon BERSATU untuk ditandingi dinafikan.
“Sebaliknya, pencalonan bagi kerusi ini diserahkan pada calon daripada parti AMANAH yang jelas tidak dikenali dan gagal memberikan khidmat selama ini kepada pengundi DUN Alor Mengkudu,” katanya kepada pemberita dalam majlis kenduri rakyat yang dihadiri ribuan anggota parti itu dan 14 lagi ketua PDM.
Dalam ceramah perdana di Hutan Kampung semalam, Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengumumkan nama 13 calon meliputi tiga kerusi parlimen dan 10 DUN yang akan bertanding di Kedah, satu daripadanya ialah Phahrolazi yang diumum bertanding di Alor Mengkudu.
Muhammad Rizal berkata, taktik tersebut jelas merupakan helah politik sedangkan perkara berkaitan agihan kerusi telah pun dipersetujui dalam Pakatan Harapan sebelum ini.
“Ini juga merupakan helah politik yang menjengkelkan dan tidak berprinsipkan keadilan dengan mengetepikan sumbangan pihak BERSATU yang telah bekerja keras selama ini di DUN Alor Mengkudu,” katanya.
Sehubungan itu melalui pengumuman itu, Muhammad Rizal berkata kesemua 15 PDM dan gerak kerja di DUN tersebut akan dibubarkan dan mereka berikrar menumpukan seluruh usaha mendukung kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah.
“Kami juga akan berikrar berkempen dengan penuh upaya untuk memenangkan mana-mana calon yang diketengahkan oleh BN Kedah di Alor Mengkudu.
“Menerusi cara ini juga ia menjadi pengajaran kepada pimpinan gabungan Pakatam Harapan agar tidak mengamalkan politik kepentingan kendiri dengan sanggup membelakangkan janji dan semangat setiakawan yang sebelum ini telah diikrarkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor