Pages

Wednesday, January 3, 2018

KERAJAAN AKAN TERUS USAHAKAN PERLINDUNGAN INSURANS KEPADA MANGSA BANJIR


Image result for banjir


Dungun -- Kerajaan akan terus berunding dengan syarikat insurans bagi memberi perlindungan insurans kepada mangsa banjir di seluruh negara oleh kerana beberapa syarat yang dikenakan oleh syarikat insurans setakat ini tidak dapat dipenuhi manakala skim yang ditawarkan pula tidak bersesuaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata syarikat insurans tidak dapat menerima skim yang dicadangkan kerajaan disebabkan mereka mahu perlindungan insurans itu diberi kepada kesemua mangsa banjir selain meminta supaya dinyatakan angka, contohnya, insurans yang diambil itu adalah untuk 500,000 atau 100,000 orang.

"Kita tidak boleh berbuat demikian. Kita hanya ambil insurans untuk kawasan yang kena banjir sahaja dengan cadangan mangsa hanya membayar RM10 dan kerajaan bayar RM67, kerajaan akan tanggung semua.

"Tapi kita masih tidak dapat syarikat insurans untuk masukkan semua sekali kawasan yang ditentukan. Kita juga tak boleh ambil kawasan yang tak banjir, " katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Pasir Raja di sini hari ini.

Menurut Shahidan, insurans yang telah ditawarkan di Kemaman hanya melibatkan satu syarikat insurans sahaja namun bagi memperluaskan skim itu, kerajaan berhasrat menambah bilangan syarikat.

"Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan terus berbincang selain meminta agar syarikat berkenaan tidak meletakkan jumlah dan berharap rundingan yang dilakukan tersebut akan membuahkan hasil, " katanya.

Skim insurans bencana diwujudkan berdasarkan satu pelan insurans menghadapi banjir yang diperkenalkan di Parlimen Kemaman sejak 2015, termasuk dalam model Kemaman Siap Siaga dan dikenali sebagai Skim Insurans Kampungku yang membolehkan mangsa banjir menerima pampasan RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

Melalui Model Kemaman Siap Siaga yang diperkenalkan selepas berhadapan banjir buruk pada 2014, penduduk daerah itu hanya membayar sebanyak RM50 dan tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman.

Bagi skim yang dicadangkan NADMA, setiap penerima hanya dikenakan bayaran RM10 manakala kos selebihnya ditanggung oleh kerajaan dengan nilai pampasan berjumlah RM1,000.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor